rap

Wujudkan persatuan penyampai radio - Isma Halil

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"ADA dalam kalangan rakan kami hidup susah tetapi tidak siapa yang tahu. Kami mengharapkan wujudnya sebuah organisasi yang mampu menjaga kebajikan," kata penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 46.

Katanya, setakat ini tiada persatuan khusus diwujudkan bagi menjaga kebajikan penyampai radio sebagaimana artis dan selebriti.

"Kita sedia maklum penyanyi, pelakon dan anak seni bernaung di bawah persatuan. Jika ada masalah mereka boleh mengadu.

"Tetapi dalam kalangan kami (penyampai radio) ada yang hidup susah dan meninggal dunia, tetapi orang tidak tahu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Isma, dia pernah menyuarakan cadangan bagi mewujudkan persatuan itu kepada pihak berkaitan tetapi tidak dipedulikan.

"Jika persatuan bertapak, ia boleh mengumpulkan penyampai radio sebenar, penyampai radio Internet, penyampai radio yang membabitkan pelawak, pengacara majlis perkahwinan dan pusat beli-belah," katanya yang kini mengendalikan radio internet, Bapakku FM.

Menurutnya, persatuan itu perlu berdaftar dan boleh mengadu kepada kerajaan jika berdepan masalah tertentu.

"Apa yang penting persatuan ini boleh membentuk dan melahirkan penyampai radio baharu yang berkualiti, selain memberi nasihat dalam pengucapan awam," katanya.

Kata Isma, jika persatuan itu ditubuhkan ia perlulah bergerak sendiri tanpa campur tangan mana-mana stesen radio sedia ada.

"Saya sedih memikirkan ramai penyampai radio yang lama tidak dikenang, sebabnya tiada persatuan. Persatuan ini jika diwujudkan boleh membela nasib penyampai radio yang dibuang kerja selain merencanakan matlamat tertentu," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 4:16pm
d