rap

'Kita akan panggil Idham' - Hans Isaac

Oleh Farihad Shalla Mahmud

“LEMBAGA Pengarah Finas akan memanggil Idham dalam masa terdekat. Ia mungkin pandangan peribadi beliau sahaja,” kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac mengenai cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nazri supaya kandungan platform penstriman video, Netflix ditapis hingga mencetuskan polemik, baru-baru ini.

Menurut Hans, beliau mahu berlaku adil kepada Idham dan mendapatkan gambaran sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Kita kena berlaku adil kepadanya. Beri Idham peluang untuk menceritakan perkara sebenar sebelum Finas mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Kongres Sangga Artis Veteran 2019 di Pawagam Mini P Ramlee di Finas di Hulu Klang, hari ini.

Hans berkata, Finas tidak akan sesekali bertindak di luar bidang kuasa yang sudah ditetapkan.

“Kita tidak akan menjadi ‘polis’ untuk Netflix kerana ia boleh ditapis sendiri pengguna. Lagipun, tanggungjawab berkaitan tapisan filem terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF). Biarlah kami fokus dengan kerja dan hala tuju Finas sedia ada,” katanya.

Baru-baru ini, Idham menggesa kerajaan menapis kandungan Netflix dan turut menyarankan kerajaan mewujudkan akta mengawal selia kandungan video yang disediakan platform digital berkenaan.

Namun, kenyataan Idham menerima pelbagai reaksi termasuk keterangan balas bagaimana pengguna boleh melakukan tapisan sendiri terhadap kandungan platform penstriman video berkenaan.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 5:03pm
d