rap

Hilang ingatan sama seperti orang mati

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"KEJADIAN ini mungkin peringatan Allah supaya memperbaiki diri. Saya merasai sendiri, hilang ingatan sama seperti meninggal dunia," kata vokalis Azzara Band, Mohd Azrizal Aziz atau Ejai, 32.

Ejai menceritakan semula insiden yang menyebabkannya hilang ingatan empat hari selepas kepalanya terhentak lantai simen ketika bermain futsal di sebuah gelanggang di Damansara Damai, Selangor pada 14 Oktober lalu.

Dalam kejadian 8 malam katanya, dia bersama rakan sepasukan menyertai kejohanan mingguan yang dianjurkan oleh pusat sukan terbabit.

Rakannya menceritakan semula, sewaktu sedang mengawal bola dia diterjah daripada belakang hingga terjatuh lalu kepala terhentak pada lantai.

"Ketika itu saya tidak pengsan tetapi mengalami kesakitan pada lutut kiri. Rakan bertanyakan keadaan tetapi saya langsung tidak mengenali mereka, malah tidak tahu apa yang dilakukan ketika itu," katanya.

Menurut Ejai, rakannya yang panik membawanya ke Hospital Sungai Buloh menyebabkannya menerima rawatan empat hari.

"Abang menceritakan semula, saya tidak mengenali sesiapa sewaktu diziarahi ahli keluarga. Malah, saya juga bertanyakan mak kami siapa," katanya.

Pada masa itu katanya, dia cuba memikirkan semula mengenai dirinya tetapi kepalanya bertambah sakit.

"Alhamdulillah, pada hari kelima di hospital doktor memberitahu pendarahan dialami sudahpun pulih. Saya disarankan pulang ke rumah (di Kampung Sri Indah, Sungai Buloh) dan keesokan hari dapat mengingati semuanya," katanya.

Berkongsi pengalamannya, hilang ingatan seperti meninggal dunia apabila dia seakan hidup di sebuah kota yang sunyi malah tidak mengenali orang sekeliling.

"Saya terasa seperti roh berterbangan dan mungkin ia rahsia Allah yang menginsafkan," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 4:16pm
d