rap

Ismail Izzani semakin stabil

Oleh Syafil Syazwan Jefri

IBU kepada penyanyi Ismail Izzani, Datin Suliza Salam memaklumkan keadaan terkini anaknya semakin stabil selepas dimasukkan ke wad akibat Influenza A.

Penyanyi lagu Luar Biasa itu bagaimanapun masih lagi ditahan di wad dan berada di bawah pemantauan doktor.

"Keadaannya sudah semakin baik selepas beberapa hari mengambil ubat antivirus sejak dimasukkan ke wad, tiga hari lalu. Jadi, doktor nak lihat perkembangannya selama sekurang-kurangnya lima ke enam hari.

"Lagi pula, penyakit berkaitan jangkitan seperti ini dapat berjangkit melalui udara. Jadi, memang perlu diberikan pemantauan rapi," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurutnya, Ismail, 19, juga banyak menghabiskan masa di katil hospital dan sesekali memantau platform media sosial untuk berkongsi keadaannya dengan peminat.

"Dia banyak habiskan masa berehat di katil hospital dan bermain dengan media sosialnya. Dia betul-betul ambil masa ini untuk berehat.

"Dia pun sebenarnya risau juga sebab menjelang 26 November, ada satu persembahan bersama RTM membabitkannya. Jadi, dia risau kalau tak boleh nak buat persembahan dengan baik.

"Selama tiga hari di wad pun, ada beberapa persembahan dan program yang terpaksa dibatalkan kerana saya takut keadaannya bertambah kritikal," katanya.

Suliza juga berterima kasih kepada rakan serta peminat yang mendoakan kesejahteraan anaknya.

"Terima kasih kepada rakan dan peminat Ismail yang mendoakannya dan ada juga meluangkan masa untuk melawat.

"Orang muda, kalau bekerja keras pun, tolonglah jaga kesihatan diri masing-masing," katanya.

Ismail dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu selepas mengadu sakit tekak dan demam.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 6:23pm
d