rap

Tak berganjak dalam hujan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

LEBIH 15,000 pengunjung membanjiri Konsert Koo With Cuckoo di Surf Beach Sunway Lagoon, kelmarin.

Konsert yang julung kali diadakan itu sempena sambutan ulang tahun kelima jenama Cuckoo di Malaysia.

Antara penyanyi terbabit dalam konsert itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Exist, Hael Husaini, Khai Bahar, Adira, Floor88, Zizi Kirana, Naqiu, Sham Visa, Wann, One Nation Emcee dan Hetty Sarlene.

Menariknya, pada konsert itu juga, Cuckoo mengumumkan duta pertama mereka di Malaysia iaitu penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bermula tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Antarabangsa (Malaysia), KC Hoe berkata, pemilihan Siti bertepatan dengan kualiti produk mereka yang menjadi pilihan utama rakyat ini.

“Pemilihan Datuk Seri Siti sebab dia ikon negara kita. Dia diminati dan dikenali semua bangsa dalam negara kita. Apatah lagi, Cuckoo juga pilihan utama rakyat Malaysia. Jadi, itu sebab kita pilih Datuk Seri Siti sebagai duta.

“Ini pertama kali kami ada duta di Malaysia. Sebelum ini ada Cuckoo Friends saja. Apabila kami buat keputusan ambil duta, kami kena cari seseorang yang mewakili Malaysia,” katanya.

Cuckoo yang turut melancarkan peraduan My Life With Cuckoo menyerahkan hadiah utama berupa kereta kepada pemenang bertuah.

Bagi Siti yang popular menerusi lagu Anta Permana, pemilihannya sebagai duta pertama di negara ini adalah satu penghormatan untuknya.

“Ini tanggungjawab yang perlu digalas. Saya pun sudah lama dengar produk ini. Alhamdulillah, apabila dipilih saya gembira apatah lagi mereka membuat pengumuman secara terbuka pada konsert.

“Pemilihan ini bukan saja satu penghormatan tapi ia tugas besar. Saya bukan terima saja tapi perlu melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya iaitu meningkatkan lagi

jenama Cuckoo.

“Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik. Saya juga sudah diberi peluang menggunakan produk ini. Saya memang puas hati dengan kualiti produk ini,” katanya.

Siti berkata, dia juga tidak menyangka apabila Cuckoo turut memberi sokongan dalam kempen SimplySiti Di Hati.

Mengenai persembahannya pada konsert itu, Siti berkata bukan pertama kali dia menyanyi dalam hujan.

“Kalau persembahan luar, hujan antara risiko yang sering berlaku. Ia tidak mendatangkan masalah buat saya. Asal saja penonton tidak berganjak.

“Saya pun tidak menyanyikan banyak lagu, dua saja. Jadi, saya percaya peminat akan setia sampai habis,” katanya yang menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu dan Cindai.

Selain barisan penyanyi itu, turut membuat kemunculan personaliti dan penyampai radio Era, Sinar, Gegar dan Zayan.

Cuckoo Friends juga hadir memeriahkan konsert iaitu Nabil Ahmad, Hetty Sarlene dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 5:10am
d