rap

Izzue Islam ambil anak angkat?

Oleh Najiy Jefri

“KANAK-KANAK comel dalam gambar itu bukan anak angkat saya,” kata penyanyi dan pelakon Izzue Islam menjawab pertanyaan warganet mengenai gambar dirinya bersama kanak-kanak comel yang dimuat naik di Instagram semalam.

Menurut Izzue, dia belum terfikir untuk mengambil anak angkat buat masa ini meskipun sukakan kanak-kanak.

“Nama kanak-kanak itu ialah Mikeyla. Dia anak kepada kenalan saya yang turut sama ikut rombongan ke Jepun.

“Saya dan isteri belum lagi terfikir untuk mengambil anak angkat walaupun ada yang menganggap rezeki akan datang selepas itu.

“Lagipun saya sekarang sibuk dengan kerja. Banyak komitmen yang perlu saya buat termasuk menguruskan perniagaan Lookalike,” katanya.

Izzue yang kini berbulan madu di Jepun dan mengikuti rombongan Okayama Health Tourism berkata, dia dan isteri sentiasa berusaha dan berikhtiar supaya dikurniakan zuriat satu hari nanti.

“Siapa yang tidak mahu menimang cahaya mata. Saya dan Awin memang tak sabar nak ada cahaya mata tapi belum rezeki.

“Insya-Allah masa itu akan tiba nanti. Saya tidak pernah rasa sedih atau kecewa pun sebaliknya okey dengan kehidupan ini,” katanya.

Terdahulu terdapat pengikut yang meninggalkan komen pada gambar Izzue bersama seorang kanak-kanak yang bertanya adakah Izzue mengambil anak angkat.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 6:44pm
d