rap

M Daud Kilau rindu beraksi di pentas

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BEBERAPA tahun tidak menyanyi kerana masalah kesihatan membuatkan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 81, sangat rindu untuk beraksi di pentas dengan menggayakan baju labucinya.

Penyanyi lagu hit Sirih Pinang yang menaikkan namanya dalam industri seni tanah air, M Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau mengakui ada perancangan untuk kembali aktif memenuhi undangan persembahan.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu hanya akan dipenuhi sekiranya dia sudah sihat sepenuhnya dan mampu memberikan persembahan terbaik untuk peminat.

“Seperti irama dan lagu yang tak boleh dipisahkan begitu juga saya dengan nyanyian walaupun dahulu ada berhasrat mahu berhenti menyanyi.

“Kalau sudah sihat sepenuhnya dan mampu berdiri serta menari seperti dahulu saya mahu memenuhi undangan persembahan jika ada.

“Tapi buat masa sekarang saya terpaksa menolak semua undangan persembahan kerana keadaan kesihatan yang kurang sihat dan berharap peminat dapat mendoakan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk.

Menurutnya, dia berdepan masalah kesihatan sejak tiga tahun lalu namun masih mampu memenuhi beberapa undangan persembahan sebelum kesihatannya semakin merosot.

Katanya, sejak itu hampir 50 jemputan persembahan dalam negara dan Singapura serta Brunei termasuk daripada kumpulan Black Dog Bone terpaksa ditolak kerana keadaannya itu.

“Banyak undangan yang tak dapat ditunaikan kerana saya tak boleh berdiri lama. Malah saya juga ada penyakit kencing manis, darah tinggi, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit.

“Mereka kata tak payah bangun (tak perlu berdiri) buat persembahan secara duduk saja tetapi saya tak mahu sebab tak sedap nak duduk saja. Jemput sebagai penyanyi tetapi duduk saja apa kata orang kerana penonton sudah tahu macam mana M Daud Kilau di pentas.

“Saya tak mahu kecewakan peminat jadi lebih baik tolak dan jelaskan kepada mereka," katanya yang mengakui kesihatannya beransur pulih sedikit.

Menceritakan perkembangan dirinya, M Daud Kilau berkata, dia kerap berulang-alik ke Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk rawatan susulan.

“Buat masa sekarang saya tak buat apa-apa aktiviti hanya beribadah dan suka menghabiskan masa membantu isteri (Datin Rohani Awang Ngah, 62) memasak di dapur.

“Kalau rindu saya akan nyanyi lagu sendiri di rumah, dengar cakera padat (CD) dan lihat album untuk mengimbau kenangan," katanya yang mengusahakan inap desa Sri Balai sejak dua tahun lalu.

Karier nyanyian M Daud Kilau bermula selepas menjuarai Bintang Radio pada 1968 dan beliau turut terkenal dengan lagu popular, Cek Mek Molek.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 5:25pm
d