rap

BPR bakal dibubarkan - Awang

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"KENYATAAN ini amat pahit untuk ditelan tetapi kami perlu menerima hakikat bahawa setiap yang datang akan berlalu pergi," kata gitaris Bumiputera Rockers (BPR), Norzaini Mohammad, 56, atau Awang.

Hampir 35 tahun bertapak dalam industri muzik tanah air, Awang pada hari ini menyampaikan berita sedih sebaik mengumumkan kumpulan itu akan dibubarkan tidak lama lagi.

Katanya, keputusan itu dibuat bersama berikutan anggota BPR berdepan masalah kesihatan, faktor usia selain memiliki kerjaya lain.

Menurutnya, dia yang menghidap masalah jantung akan memberikan tumpuan pada keluarga manakala vokalis mereka, Johari Mat Rozekhi, 56, atau Joey mahu menjaga kesihatan kerana menghidap darah tinggi serta masalah rusuk akibat kemalangan, baru-baru ini.

Sementara itu pemain dram, Raja Zainal Abidin Raja Hasnan, 58, atau Enal yang menghidap sakit jantung berniaga nasi lemak di Taman Mt Austin, Johor Bahru.

Pemain bass, Abdul Rahim Mohd Zain, 54, atau Yem Bai pula berkhidmat sebagai pemandu peribadi dan mahu memberikan tumpuan penuh pada kerjaya berkenaan.

Kata Awang, dirinya sedih mengumumkan pembubaran kumpulan itu yang ditubuhkan pada 1985.

"Kami melalui banyak cabaran dan pahit manis dalam kehidupan. Sebelum BPR tertubuh, kami mengiringi persembahan artis 70-an dan 80-an.

"Kami juga berkongsi sepinggan mi segera bersama lima anggota termasuk arwah Yem C ketika zaman susah," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, biarpun sebak mereka menerima hakikat sesuatu perkara tidak kekal selamanya, dia berterima kasih kepada peminat atas sokongan selama 35 tahun.

"Terima kasih peminat, tanpa sokongan anda kami bukan sesiapa. Apakan daya, ini keputusan yang sukar dan kami terpaksa pergi," katanya.

Menurut Awang, BPR akan dibubarkan secara automatik selepas mereka menjayakan Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin di seluruh negara bermula 28 Disember ini.

"Ini adalah pertemuan terakhir dan selepas ini, tiada lagi. Terima kasih dan mohon halalkan semuanya," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 3:43pm
d