rap

Merindu taruhan pertama Iza'an

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BAKAT penyanyi baru, Iza’an dicungkil menerusi program realiti I Can See Your Voice Malaysia musim kedua (ICYVMY 2) episod bersama Khai Bahar.

Walaupun tersingkir pada peringkat 4 ketika menyanyikan lagu Luluh, Iza’an bertuah apabila dilamar Khai untuk bernaung di bawah syarikat milik penyanyi itu.

Apa yang pasti, populariti dimiliki Khai sekali gus membantu Iza’an, 22, atau nama sebenarnya Mohamad Iza’an Abdul Talib untuk terus dikenali.

Malah, lagu Merindu hasil ciptaan Kanda iaitu Khai sendiri menjadi pertaruhan sulung Iza’an dalam memperkenalkan bakat nyanyiannya.

“Seperti semua sedia maklum, penyokong dan peminat Khai sangat ramai. Jadi, sedikit sebanyak ia memang membantu untuk saya lebih dikenali.

“Diakui, tempias populariti Khai juga kena pada saya. Malah, peminat Khai pun tidak sabar mendengar single sulung saya ini yang juga hasil ciptaan Khai,” katanya.

Tidak perlu menunggu lama, single itu turut hadir dengan muzik video yang dilancarkan secara rasmi pada 8 November lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music dan sudah mencatat lebih 250,000 tontonan.

Bercerita mengenai muzik video itu, Iza’an berkata, ia memaparkan masalah rumah tangga pasangan muda yang baru berkahwin.

Muzik video yang dilakonkan Zaki Azeman dan Mizza Razak itu diarahkan Atmin Mazid dan diterbitkan Seventeen Eleven Music dengan kerjasama Grateful Music.

“Dalam muzik video itu, saya adalah pencerita yang bercerita mengenai masalah rumah tangga suami isteri muda yang berpunca daripada salah faham kecil hingga menjadi besar.

“Akibat prasangka dan mengikut amarah jiwa muda, semuanya menjadi kucar kacir. Sedangkan dalam rumah tangga perlu banyak bersabar dan kenang pengorbanan pasangan masing-masing.

“Saya harap ia mendapat sambutan yang baik dan mohon kepada peminat berkongsi muzik video ini bagi yang belum menonton. Diharap juga, jalan cerita yang dipaparkan menjadi pengajaran kepada semua dan yang ingin berkahwin,” katanya.

Muzik video lagu Merindu menjalani penggambaran selama dua hari membabitkan pelakon dan Iza’an sendiri.

Teristimewa buat peminat Iza’an, lagu Merindu edaran Seventeen Eleven Music ini boleh dimuat turun dan distrim di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX, KKBox dan Deezer Music.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 5:15am
d