rap

Gegar selatan

Oleh Nazrul Azuad

BAND thrash dan heavy metal, FTG bakal beraksi dalam persembahan eksklusif di City Plaza, Johor Bahru pada 14 Disember ini sempena promosi album terbaharu mereka, Kau Jangan Kurang Ajar.

Persembahan anjuran Rockstage Entertainment itu turut menampilkan dua lagi band yang dikenali dalam arena muzik underground iaitu Farasu dan Tandus.

Wakil penganjur, Talib Othman berkata, sebelum ini FTG sudah mengadakan promosi di Kuantan, Sibu dan Bintulu.

“Kali ini kami ke selatan tanah air pula. Berikutan sambutan serta permintaan menggalakkan daripada peminat supaya membawa FTG lebih dekat dengan mereka, kami turutkan walaupun terpaksa mengeluarkan modal sendiri,” katanya.

Talib turut menjanjikan kepuasan buat peminat dengan konsep persembahan dan sistem bunyi yang ditampilkan nanti.

“Jualan tiket sudah bermula dan setakat ini sambutannya sangat memberangsangkan. Malah ada peminat daripada Singapura sudah membuat tempahan awal,” katanya.

Sejak 25 tahun memperjuangkan muzik metal dalam arena muzik tempatan, FTG masih kekal dengan anggota asalnya iaitu Tajul (penyanyi), Jac (gitar), Mie (bass) dan Zam (dram). Kini mereka turut disertai bekas pemain gitar Def Gab C, Jemboo.

Berbanding album mereka sebelum ini, Kau Jangan Kurang Ajar menampilkan muzik yang lebih berat selain mengekalkan lirik yang sarat dengan mesej.

Selain FTG, Farasu cukup dikenali dalam kalangan pengikut underground kerana sudah menghasilkan tiga album iaitu Menongkah Arus, Againts Tyranny dan Sulalatus Salatin.

Selain Malaysia, Farasu juga pernah mengadakan persembahan di Singapura, Indonesia, Taiwan, China, Nepal dan Australia.

Baru-baru ini, mereka juga tampil sebagai band pembuka di Konsert Loudness di Kuala Lumpur.

Tandus yang mendapat jolokan ‘Wira Metal Selatan’ dalam kalangan penggemar irama berat turut beraksi pada siri jelajah di Johor.

Band yang ditubuhkan pada 1994 ini pernah tampil dengan sebuah EP Logam Maut pada 1997.

Tiket untuk menyaksikan persembahan ini berharga RM50 (untuk pembelian awal) dan RM60 pada hari persembahan.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 5:00am
d