rap

Mahu diiktiraf penggiat seni

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEPAS memenangi beberapa anugerah dalam kategori popular, pelakon jelita, Mira Filzah, 26, kini idamkan anugerah Pelakon Wanita Terbaik.

Sehubungan itu, walaupun kini sibuk dengan perniagaan makanan kesihatan jenama Luna, dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan dan mahu terus berlakon jika skrip serta watak ditawarkan mencabar kemampuan lakonannya.

Mira ketika ditemui berkata, dia cemburu melihat ada beberapa teman pelakon yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik seperti pada Anugerah Skrin 2019 dan Anugerah Telenovela 2019.

“Bukan saya tidak suka apabila menang anugerah popular. Saya sangat hargai kerana ia pengiktirafan peminat dan penganjur membabitkan saya dalam bidang seni.

“Bagaimanapun, sebagai pelakon kalau boleh saya mahu juga melihat bagaimana penggiat seni menilai bakat saya dalam menjayakan sesuatu watak.

“Kalau mereka mengiktiraf bakat saya antara yang terbaik, ia pencapaian sangat membanggakan. Saya mahu penggiat seni juga mengiktiraf bakat saya sebagai antara yang terbaik,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan kerjaya seninya, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 ini menjelaskan jadualnya sudah penuh hingga November tahun depan membabitkan penggambaran drama dan filem.

Walaupun sibuk dengan penggambaran, Mira yang sebelum ini hangat dikaitkan bercinta dengan Remy Ishak berkata, perniagaan makanan kesihatan yang dikeluarkannya itu tetap dipantau.

“Saya tidak bimbang kerana ada kakitangan yang ditugaskan untuk menguruskan perniagaan ini dan segala laporan akan dipantau,” katanya.

Ditanya kenapa dia memilih perniagaan produk makanan kesihatan, Mira berkata, produk itu dekat dengan dirinya dan dia sendiri menggunakan produk berkenaan bagi memastikan tubuhnya bertenaga.

“Saya tahu sekarang ini artis kalau hendak berniaga akan memilih produk solekan dan ia memang senang nak jual.Namun, saya tidak mahu jual barangan yang saya sendiri jarang gunakannya.

“Orang nampak saya cantik bersolek apabila berlakon, mengacara atau menghadiri majlis. Tapi kalau tidak kerja dan hari biasa memang saya tidak bersolek.

“Alat solek milik saya pun tak banyak. Saya memang tidak pandai bersolek sendiri. Kalau sudah begitu situasinya mengapa mahu jual barang yang saya sendiri jarang guna,” katanya.

Menjual tudung juga, kata Mira bukan kepakarannya, apatah lagi pada waktu sama dia menjadi wajah Ariani dan dia lebih senang begitu.

Walaupun sebelum ini penjualan produk kecantikan dan makanan kesihatan mendapat kritikan beberapa doktor bertauliah, Mira tidak bimbang kerana produk makanan dijualnya berbeza dengan makanan kesihatan sedia ada.

“Produk saya bukan untuk memutihkan kulit, menguruskan badan atau apa saja perubahan yang boleh mendatangkan keburukan dalam jangka masa panjang.

“Ia makanan kesihatan yang memberikan tenaga dan dapat memberikan penggunanya tidur lena. Saya berhadapan perkara yang saya sebutkan iaitu badan lesu dan tidak cukup tidur kerana waktu bekerja tidak tentu masa dan tempoh panjang.

“Produk ini mampu membuatkan saya terus bertenaga untuk bekerja dan boleh membuatkan saya dapat tidur yang lena dan cukup,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 5:00am
d