rap

Seksi kerana enggan kelihatan tua - Adeline Tsen

Oleh Najiy Jefri

PELAKON, Adeline Tsen mengakui keberaniannya mengenakan pakaian seksi bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya enggan kelihatan tua.

Adeline berkata, meskipun usianya sudah menjangkau 33 tahun, tapi masih ramai yang tidak tahu.

“Mungkin saya sudah turun berat badan membuatkan lebih yakin mengenakan baju seksi apabila menghadiri sesuatu majlis.

“Lagipun saya tidak mahu kelihatan tua. Penampilan saya ini, ramai yang masih tak tahu sudah menjengah usia 30-an.

“Nak kata terlalu seksi tidaklah juga sebab saya masih menghormati majlis dan mengikut tema. Malah setiap gambar yang dimuat naik masih berpada-pada,” katanya.

Menurut Adeline, dia mengakui sudah lali dengan setiap cacian dan kutukan mengenai penampilannya itu.

“Biarlah apa orang nak kata asalkan ayah saya tahu yang anaknya masih sama. Janganlah menilai daripada luaran saja sebaliknya kenal dulu dengan lebih mendalam.

“Kalau ada komen keterlaluan di media sosial, saya akan menyekat kerana Instagram kini boleh mengawal setiap komen warganet yang cakap ikut sedap mulut,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 3:28pm
d