rap

Penamat manis 2019

Oleh Ardini Sophia Sina

MENYAMBUT ulang tahun ke-12 pada 24 November lalu, Suria FM tidak hanya meraikan majlis ‘kelahiran’, tetapi juga kejayaan mereka menduduki tempat keempat stesen radio berbahasa Melayu paling popular di Malaysia.

Berita gembira itu dikongsikan Pengurus Kandungan Program Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin ketika majlis bersempena ulang tahun stesen radio berkenaan, baru-baru ini.

DJ Lin berkata, dia mengakui bukan mudah mengekalkan kedudukan mereka apatah lagi untuk naik ke tangga yang lebih atas tambahan pula stesen radio lain juga mempunyai jutaan pendengar.

“Keputusan itu hasil kaji selidik Pengukuran Pendengar Radio Gfk, 2019. Kami berjaya meningkatkan jumlah pendengar daripada 2.2 juta kepada 2.6 juta dalam tempoh enam bulan. Bagi saya, kejayaan itu adalah bonus buat kami.

“Berdasarkan kaji selidik awal tahun ini, kami meraih peningkatan pendengar daripada 1.8 juta kepada 2.2 juta. Saya boleh katakan ini adalah penamat 2019 yang paling manis,” katanya.

Lebih sedekad menghiburkan penyokong stesen Suria FM menerusi beberapa segmen seperti Suria Pagi, Suria Petang, Suria Cinta dan Carta Rockmantika, Dj Lin berharap agar ia terus menjadi pilihan pendengar di seluruh negara.

Suria FM terus komited menyajikan segmen menarik serta lagu yang memenuhi selera pendengar semua peringkat usia apatah lagi penggemar stesen radio itu adalah daripada pelbagai generasi.

Terus komited menyediakan pelbagai lagu kegemaran ramai, DJ Lin mengakui bukan mudah untuk mereka mendaki cabaran untuk berada di tempat keempat stesen bahasa Melayu paling popular.

“Sejak empat tahun lalu, kami berusaha mencari dan menghasilkan kandungan yang sesuai bagi memenuhi kehendak pendengar sasaran dengan menyajikan lagu hits sejak 90-an hingga kini.

“Selain bahan siaran di radio, kami juga menggunakan platform digital sebagai cara meluaskan lagi capaian kami serta mengadakan aktiviti siri jelajah.

“Kandungan berkualiti serta keunikkan tersendiri adalah daya tarikan lebih ramai pendengar akan mengikuti Suria Fm,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 5:10pm
d