rap

'Saya kecilkan sedikit badan'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

NAMA Yusuf Bahrin mungkin belum cukup dikenali sebagai pelakon.

Namun, wajahnya tentunya tidak asing buat peminat drama bersiri Satukan Rasa apabila dia memegang peranan sebagai Shah Bakri.

Pernah dilabel mirip pelakon, Aeril Zafrel dan dianggap meniru gaya suami kepada Wawa Zainal itu, Yusuf tidak pernah menganggap tanggapan itu sebagai sesuatu yang mengganggunya.

“Saya tak rasa tanggapan masyarakat itu adalah sesuatu yang mengganggu. Mungkin sebelum ini, gaya potongan rambut dan juga jambang saya membuatkan saya nampak mirip Aeril.

“Saya tak ada niat untuk meniru dia. Untuk menampakkan sedikit perbezaan, saya potong rambut supaya lebih pendek dan nipiskan jambang,” katanya.

Ditanya mengenai bidang lakonan yang baru setahun menjadi rutinnya, pelakon berusia 27 tahun ini berkata, dia tidak menyangka akan bergelar pelakon.

“Saya mula bekerja sebagai tukang gunting rambut dan ada membuka kedai gunting di Melaka bersama seorang rakan. Namun, atas sebab yang tak dapat dielakkan, saya tarik diri dan sekarang saya fokus kepada bidang lakonan.

“Antara perkara yang paling saya ingat ketika mula bergelar pelakon awal tahun ini ialah saya kecilkan sedikit saiz badan. Itu penting untuk disesuaikan dengan karakter dan saiz yang ideal untuk muncul di kaca TV,” katanya.

Bercerita mengenai lakonannya dalam drama bersiri Satukan Rasa lakonan Siti Nordiana dan Khai Bahar itu, Yusuf berkata, ia adalah peluang untuk dia sekali lagi menonjolkan bakat lakonannya.

“Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam drama bersiri Sweet Dreams bersama Ben Amir. Kali ini, saya diberi peluang untuk berlakon dalam drama Satukan Rasa.

“Ada perbezaan antara dua watak dalam dua drama itu dan saya cuba untuk jayakan dengan cara sendiri. Tapi, saya akan rujuk dengan pengarah kerana saya mahu sampaikan apa yang dia inginkan,” katanya.

Itu juga menjadi cabaran buatnya sepanjang hampir setahun kerjaya lakonannya berlangsung.

“Cabaran buat pelakon adalah untuk membawakan watak yang diberikan. Kita nak cuba berikan yang terbaik untuk sesuaikan dengan kehendak pengarah.

“Setakat ini, dua pengarah yang mengarahkan drama lakonan saya banyak memberikan tunjuk ajar dan berterus terang setiap kali saya melakukan kesilapan atau ada kekurangan dalam lakonan saya.

“Dari situ, saya dapat tahu di mana kelemahan saya dan cuba untuk memperbaikinya,” katanya yang menyimpan impian menjadi pengacara.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 5:05am
d