rap

Zizi sindir warganet lagi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI yang kini bergelar rapper, Zizi Kirana antara artis yang berani menempelak warganet menerusi lagu nyanyiannya.

Lirik diselitkan dalam beberapa single sebelum ini ibarat melepas geram kepada golongan itu yang dianggap bersikap keterlaluan di laman sosial menerusi komen dilemparkan kepadanya.

Terbaharu, lagu Eh ciptaan Navigator dan Zizi Kirana dengan lirik oleh Mambang serta Zizi yang dilancarkan pada 18 Oktober lalu juga menyindir segelintir warganet yang sentiasa berasakan diri mereka sempurna.

Bagi menzahirkan lagi lirik dalam lagu itu, Zizi, 34, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil muncul dalam video muzik (MV) Eh sekali gus disifatkan ‘berani mati’ dan terbuka.

Bukan saja menerusi lagu, malah dalam MV itu juga Zizi sekali lagi buat hal dengan menampilkan personaliti berperwatakan lembut atau mak nyah, Viviana Abdullah.

Zizi berkata, dia sudah bersedia menerima setiap komen dan kritikan peminat berkenaan perkara itu biarpun ada yang mengatakan

kononnya dia mempromosikan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

“Jadi, apa pun persepsi mereka terhadap MV ini, biarlah. Apa yang penting saya dan pasukan tahu apa kami buat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai MV itu, buat pertama kalinya menyaksikan Zizi tampil dalam beberapa karakter bagi disesuaikan dengan lirik lagu itu.

Antara watak itu adalah mereka yang berhati hitam.

“Ketika lagu ini dilancarkan hingga sekarang, ramai bertanya siapa Mambang. Jadi, dalam MV ini didedahkan identiti sebenar Mambang.

“Malah, dalam MV ini juga, saya mengenakan banyak persalinan mengikut watak dan karakter. Ada dalam empat ke lima pasang. MV sebelum ini dua pasang saja.

“Pendek kata, MV ini jauh berbeza daripada kebanyakan MV saya sebelum ini.

“Walaupun penggambaran dibuat sehari, tapi ia mengambil masa panjang. Daripada jam 7 pagi hingga jam 3 pagi keesokan harinya,” katanya.

Menariknya, lagu Eh itu pernah menduduki carta terbaik di iTunes selepas dilancarkan secara rasmi di semua platform digital muzik.

Video muzik Eh yang mendapat sentuhan pengarah Hasif Hamid terbitan WebTV Asia dilancarkan secara rasmi pada 29 November lalu di saluran YouTube Zizi Kirana.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 5:15am
d