rap

Aura Kasih alami peristiwa aneh ketika penggambaran

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BINTANG filem The Sacred Riana: Beginning, Aura Kasih mendedahkan mengalami peristiwa aneh ketika berada di set penggambaran filem seram itu.

Aura yang juga pelakon dan penyanyi Indonesia berkata, ketika hari kedua penggambaran, timbul perasaan sedih dan takut secara tiba-tiba.

"Saya sendiri tak dapat nak gambarkan perasaan ketika itu. Yang pasti, secara tiba-tiba muncul satu perasaan bercampur antara kesedihan dan juga ketakutan.

"Saya kemudiannya bertanya kepada beberapa orang yang memiliki indera keenam dan mereka berkata, ada 'sesuatu' yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar di sekitar kami," katanya kepada Harian Metro.

Aura bagaimanapun bersyukur kerana tidak melihat sebarang kemunculan objek aneh sepanjang sebulan menjalani penggambaran.

"Saya percaya dengan kewujudan perkara ghaib. Namun, syukur alhamdulillah tiada sebarang peristiwa atau kemunculan lembaga yang saya lihat.

"Ada rakan lain berdepan beberapa insiden menakutkan dan ada juga orang yang boleh melihat makhluk halus bercerita. Namun tidak terlalu banyak yang dikongsikan kerana tidak mahu pelakon rasa panik," katanya.

Selain Aura, filem The Sacred Riana: Beginning yang diarahkan oleh pengarah, Billy Christian turut dibintangi antaranya The Sacred Riana sendiri, Agatha Chelsea, Prabu Revolusi, Citra Prima, Frissly Herlind dan ramai lagi.

Di Malaysia, filem seram fantasi itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 Disember ini.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 6:47pm
d