rap

Emma Maembong semakin sembuh - Michael Ang

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENGARAH juga teman baik kepada aktres Emma Maembong, Michael Ang mengesahkan pelakon wanita itu sudah semakin sembuh.

Michael berkata, Emma yang dimasukkan ke hospital kelmarin kini berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan.

“Dia tidaklah sakit teruk seperti yang dianggap oleh umum. Saya baru saja menghubunginya bagi mengetahui status kesihatannya yang sebenar.

“Memang pada awalnya keadaan Emma agak teruk kerana demam akibat virus itu tidak kebah.

“Bagaimanapun sebaik dimasukkan ke wad dan mendapat rawatan, kini Emma sudah semakin baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Kelmarin menerusi status di laman sosial, pihak pengurusan Emma memuat naik gambarnya yang sedang terbaring lesu di katil hospital.

Dalam kapsyen ditulis, pihak pengurusan Emma menjelaskan, pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan itu ditahan di hospital kerana demam dan dijangkiti bakteria.

Cubaan wartawan menghubungi Emma bagi mendapatkan komennya gagal apabila dia tidak menjawab mesej dihantar.

Namun menerusi laman sosialnya pelakon itu memuat naik gambarnya yang sudah beransur sihat dan status kesihatannya semakin baik.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 9:10pm
d