rap

Anugerah pembakar semangat

Oleh Najiy Jefri

KEJAYAAN Masya Masyitah memenangi anugerah Artis Baharu Paling Berpotensi pada acara Anugerah Muzik Asia di Shenzhen, China, baru-baru ini menjadi pemangkin semangatnya untuk mengembangkan karier nyanyian.

Siapa sangka, meskipun pembabitannya dalam karier seni masih hijau, wanita berusia 19 tahun ini meraih kejayaan itu.

“Satu pengiktirafan yang saya kira cukup manis dan berharga. Tak sangka usaha saya memperkenalkan bakat diperhatikan hingga mendapat kepercayaan untuk terus berusaha mengukuhkan nama di rantau Asia.

“Diharap kejayaan ini membuka mata banyak pihak sekali gus berpeluang menembusi pasaran China,” katanya.

Kata Masya, dia kini fokus untuk menghasilkan single berbahasa Mandarin bagi mengembangkan sayap di China.

“Selain single solo, saya juga bakal muncul dengan single duet bersama Jeryl Lee berjudul Zuo Jian (Sahabat Sejati).

“Saya harap dengan adanya single Mandarin ini, peluang akan lebih luas. Saya mahu harumkan nama Malaysia dan ingin melihat industri muzik tempatan terus berkembang.

“Doakan semoga pembabitan saya di China mendapat tempat dihati masyarakat di sana dan seterusnya mampu menghiburkan mereka,” katanya.

Tidak hanya satu anugerah dimenangi pada Ogos lalu, Masya turut menerima anugerah Most Admired Leaders Award sempena Herald Global Award, disusuli ASEAN Top Social Media Influencer pada ASEAN Outstanding Business Award 2019, Oktober lalu.

Masya turut merangkul gelaran naib juara pertandingan Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong pada 2016 seterusnya diberi peluang menjayakan pelbagai persembahan di China.

KONTROVERSI

Menjadi selebriti bukan hal yang mudah kerana setiap gerak-geri akan diperhati. Masya tidak terkecuali dikecam netizen yang mempertikai penampilannya.

Kata Masya, setiap kecaman dan kritikan itu dilihat secara positif dan dijadikan pengajaran.

“Siapa tidak sedih apabila membaca komen yang ditinggalkan netizen. Macam-macam orang mengata mengenai diri saya.

“Ibu melarang baca komen di laman sosial, tetapi saya ambil semua itu sebagai pengajaran. Apabila membacanya, saya tahu di mana salah saya. Jadi, selepas ini saya takkan mengulanginya lagi.

“Saya mohon maaf sekiranya penampilan saya kelihatan jelik di mata kalian,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 5:15am
d