rap

Sekuel filem Pusaka tahun depan

Oleh Ramlah Zainal

SELEPAS berjaya mencecah kutipan pecah panggung RM13 juta, filem Pusaka akan muncul dengan sekuelnya pula khusus untuk penggemar genre penyiasatan seram tempatan.

Menurut pengarahnya, Razaisyam Rashid, buat masa ini perbincangan masih dijalankan lagi untuk merealisasikan sekuel filem ini.

“Skrip untuk sekuel filem ini masih dalam proses dan penggambaran filem ini dijangka berlangsung pada tahun depan.

“Kos produksi untuk sekuel ini juga dijangka lebih tinggi berbanding filem Pusaka yang pertama,” katanya kepada Harian Metro.

Razaisyam ditemui pada tayangan drama bersiri eksklusif Astro Go, genre seram thriller Sembilan di MBO Starling, Damansara Utama, Petaling Jaya, malam tadi.

Mengulas pemilihan pelakon pula, katanya, pihaknya masih mengekalkan barisan pelakon sama untuk filem Pusaka 2 nanti.

“Saya tidak menafikan populariti pelakon utama filem ini iaitu Syafiq Kyle memainkan peranan besar untuk kejayaan filem Pusaka.

“Namun, saya percaya kejayaan sesebuah filem memerlukan gabungan pelakon terkenal dan kekuatan jalan cerita naskhah terbabit.

“Maklumlah, penonton kita sekarang sudah bijak dan memiliki cita rasa tinggi bagi menilai sesuatu karya yang berbaloi untuk mereka ke pawagam,” katanya.

Mengenai kutipan filem Pusaka pula, kata Razaisyam, pihaknya sendiri tidak menyangka kutipan pecah panggung itu.

“Pihak kami tidak jangka kutipan sebanyak itu kerana filem Pusaka juga tidak membabitkan bajet yang besar sebelum ini.

“Apapun, saya percaya filem tempatan kini sudah melangkah setapak yang lebih tinggi lagi menerusi sambutan pecah panggung pada filem Pusaka, Wira dan Ejen Ali The Movie pada tahun ini,” katanya.

Filem Pusaka terbitan Astro Shaw ditayangkan di pawagam tanah air sejak 31 Oktober lalu.

Ia menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi dan Sweet Qismina.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 4:01pm
d