rap

AG terbawa-bawa cara Mus

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“OKEY tak nyanyian AG?” tanya pemain bass kumpulan May mengenai prestasi penyanyi baharu mereka kepada pihak media yang menemubualnya.

Ketika itu, May baru selesai mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur bagi mempromosi Pesta Kor Risik DiRaja yang akan berlangsung pada 6 Disember hingga 8 Disember ini di MAEPS Serdang.

May bersama XPDC dan Man Kidal akan beraksi dalam Konsert Metal Sound pada 6 Disember yang tiketnya berharga RM60.

Apabila diberitahu cara nyanyian AG saling tak tumpah seperti Mus iaitu bekas penyanyi mereka, Man selaku ketua kumpulan dan pemain dram pula menjelaskan perkara itu bukan disengajakan.

“Sebenarnya, sejak saya kenal dia sembilan tahun lalu pun memang beginilah bentuk nyanyiannya. Intonasi mereka memang lebih kurang sama.

“Tak dinafikan dalam persembahan dia terbawa-bawa cara Mus. Cuma kami perlahan-lahan bentuk dan ajar dia untuk tampilkan diri sendiri selepas ini.

“Sekarang sudah nampak perbezaan selepas kami buat enam persembahan menampilkan AG. Pada peringkat awal memang sukar, tetapi lama-kelamaan pasti akan nampak kelainan,” katanya.

Menurutnya, AG atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Kamaruddin, 41, mempunyai suara seperti Mus pada era 80-an.

“Kami kenal AG ketika May diundang sebagai band jemputan untuk Battle of The Band di Lanchang, Pahang. Kumpulan yang dianggotai AG dinobatkan sebagai juara ketika itu.

“Saya tengok nyanyian dan suara AG amat tinggi. Kalau tengok nyanyian dia bersama kumpulan lamanya di YouTube, gaya nyanyiannya memang begini,” katanya.

Apabila Mus mengesahkan menarik diri daripada May, mereka segera menghubungi AG untuk sesi uji bakat.

“Kami uji dia dengan menyuruh menyanyikan banyak lagu dan dia berjaya,” katanya.

Yus pula mengakui mereka sebenarnya tidak menyangka mendapat pengganti yang seakan-akan Mus.

“Sebelum menyertai kami, mungkin AG banyak menyanyikan lagu May ketika bersama kumpulan lamanya.

“Mungkin dia minat dengan cara Mus dan tak sangka akhirnya jadi penyanyi kami.

“Bagaimanapun, kami menasihati dia supaya ubah cara nyanyian agar nampak identiti sendiri. Jika dia masih begitu, yang boleh menilainya ialah peminat sendiri,” katanya.

Menurutnya, mereka akan cuba menghasilkan single terbaharu nyanyian AG dan di situ peminat boleh mendengar gaya nyanyiannya yang sebenar.

Selain Man dan Yus, May yang ditubuhkan di Ipoh pada 1986 turut dianggotai Abu sebagai pemain gitar utama.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 5:00am
d