rap

Puas lihat wajah peminat

Oleh Ardini Sophia Sina

WALAUPUN kumpulan Boyz II Men hanya tampil bertiga pada konsert Boyz II Men-Tour Of Asia, persembahan mereka pada malam itu tetap bertenaga dan menghiburkan.

Kali kedua menjayakan konsert di Malaysia, anggota kumpulan Boyz II Men iaitu Nathan Morris, Shawn Stockman dan Wanya Morris teruja menghiburkan ribuan pengikut setia mereka.

Kali terakhir mereka tampil dengan album penuh adalah pada 2017. Bagaimanapun, kumpulan itu terus bergerak ke seluruh dunia menghiburkan peminat mereka.

Kata Shawn, selagi masih ada peminat yang ingin mendengar lagu mereka, Boyz II Men akan meneruskan kerjaya sebagai penghibur.

“Kami teruja dengan konsert jelajah Asia dan dapat kembali menghiburkan peminat di Malaysia. Kami gembira dapat berdiri di hadapan peminat dan menghiburkan mereka.

“Selagi masih ada yang ingin mendengar lagu Boyz II Men, kami akan terus menghiburkan mereka kerana itulah yang memberikan semangat untuk bertahan dalam industri muzik.

“Memang penat bergerak dari satu tempat ke satu tempat, tetapi melihat wajah teruja peminat ketika kami menyanyi di atas pentas, rasa sangat puas,” katanya.

Memulakan kerjaya sejak 1990 yang ketika itu turut disertai Michael McCary, Boyz II Men cukup terkenal dengan lagu R&B.

Malahan, pada 1992 single End of the Road turut menduduki carta nombor satu Billboard Hot 100 selama 13 minggu sekali gus menewaskan rekod Elvis Presley.

Seiring perjalanan waktu, industri muzik sudah berubah. Kata Wanya, perubahan itu ada kebaikan dan keburukan terhadap karier penggiat seni dan industri itu sendiri.

“Kami ada perancangan buat lagu baharu dan hasilkan album, tetapi perlukan sedikit masa. Tambahan pula industri muzik di Amerika Syarikat sudah banyak berubah.

“Sekarang, semua mampu memuat naik video nyanyian mereka di media sosial dan itu perkara yang bagus. Tidak seperti kami yang mengalami kesukaran berkongsi dengan peminat perkara sedemikian.

“Bagaimanapun, ia seakan-akan sumpahan kerana artis pada masa kini lebih terdedah kepada kritikan dan komen buruk. Situasi itu tidaklah sampai merosakkan kerjaya, tetapi sedikit sebanyak akan menjejaskannya,” katanya.

Bagi Boyz II Men, mereka tidak akan sesekali membiarkan kritikan menentukan hala tuju dalam dunia muzik. Mereka artis dan bebas menghasilkan karya mengikut cita rasa sendiri.

Kata Nathan, zaman sekarang tidak ada lagi penyanyi yang tampil berkumpulan. Kebanyakan anak seni era ini lebih suka bergerak solo.

“Era kami berbeza dengan zaman ini. Kami tidak membiarkan komen buruk mempengaruhi penghasilan muzik. Sebagai anak seni, kami bebas buat apa yang diinginkan.

“Sekarang semua orang berlumba-lumba untuk muncul sebagai artis solo. Saya boleh katakan industri muzik di Amerika Syarikat ‘pentingkan diri’. Mereka lebih suka lakukan semuanya sendiri dan enggan berkongsi pentas dengan artis lain.

“Saya kagum dengan Jepun dan Korea Selatan yang sehingga kini terus gah dengan artis berkumpulan. Malahan, artis dari negara itu juga tidak kurang hebatnya dan disanjung satu dunia,” kata Nathan.

Ahad lalu, Boyz II Men menghiburkan 2,800 penonton pada konsert yang berlangsung di Plenary Hall. Dewan itu gamat dengan peminat yang turut menyanyi bersama.

Walaupun diadakan di ruang tertutup, Boyz II Men bijak berinteraksi dengan penonton dengan mengajak mereka berdiri bersama dan melambai-lambaikan tangan.

Konsert yang berlangsung kira-kira sejam setengah itu diserikan dengan lagu hit mereka antaranya On Bended Knee, Please Don’t Go, Come Together, Mama, One Sweet Day dan End of the Road.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 5:10am
d