rap

Zizan akan cari masa jumpa Airein

Oleh Georgie Joseph

PELAWAK, pelakon dan pengacara, Zizan Razak terharu dengan hajat peminat ciliknya Airein, 12, yang mengalami masalah kegagalan kedua-dua belah buah pinggang sejak berusia dua tahun untuk berjumpanya.

Zizan, 35, berkata dia akan berusaha mencari ruang dalam masa terdekat untuk menunaikan hajat Airein meskipun sibuk dengan jadual karier seninya sehingga tahun depan.

“Saya tidak pernah tahu mengenai hajat adik kecil ini minat untuk berjumpa dengan saya. Terima kasih pihak Harian Metro memaklumkan saya mengenai berita ini.

“Saya rasa berbesar hati walaupun adik berkenaan lebih fikirkan mengenai keadaannya, dia masih boleh berfikir terhadap minatnya juga iaitu kepada sayalah.

“Kalau ada ruang dan masa, saya berbesar hati untuk bertemu dan tiada masalah pun buat saya. Sekarang ini, saya sedang menjalani penggambaran Polis Evo 3 dan jadual kerja sangat penuh sampai tahun depan.

“Tapi, kalau ada ruang kosong dalam masa terdekat, saya akan aturkan untuk bertemu dengan adik Airein,” katanya.

Menurutnya, dia sangat tersentuh dengan penghargaan peminat sebegitu yang sememangnya jujur meminatinya.

“Saya rasa terharu adik kecil seperti ini hatinya jujur dan bersih. Kalau dia minat memang betul-betul minatlah.

“Pada masa sama, rasa bangga disebabkan hasil kerja dan karya saya berjaya menghiburkan orang meskipun mereka berhadapan dugaan hidup. Seperti adik ini, meskipun sakit, dia masih boleh tengok cerita saya dan terhibur,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Airein kerap menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengan pelakon dan pelawak popular Zizan Razak selepas melihat video selebriti itu.

Menurut bapanya, Nazemir Mohamad, 42, Airein sering ketawa dengan lawak Zizan. Perkara itu pun sudah cukup menggembirakan dia dan isteri yang sedaya upaya ingin melekakan anak daripada mengingati kesakitan.

Mereka suami isteri juga berharap dapat memenuhi hasrat Airein selagi Allah memberinya peluang.

Berita berkaitan

Sepuluh tahun tahan air mata [METROTV]

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 6:18pm
d