rap

Mana ada tiru, lain lah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BAND baru, Pelita Lusoh tidak kisah sekiranya video muzik single baru mereka, Kekaseh Syurga dianggap meniru konsep video muzik lagu Satu Satu nyanyian Drama Band.

Menampilkan karakter dengan solekan ala Joker dalam video muzik lagu baru itu, Pelita Lusoh yang dianggotai Aweera, Anep dan Alan itu mengikut idea asal pengarahnya, Rudy Hirwan.

"Kami hantar material kepada pihak AVR Phiti Gallery dan Rudy selaku pengarah memberikan idea untuk menggunakan karakter ala Joker dalam video muzik ini.

"Kalau ada yang menganggap kami meniru atau ada persamaan dengan video muzik lagu Drama Band, kami tak boleh cakap apa-apa. Kami pun tak ada masalah dengan mereka," kata Anep kepada Harian Metro.

Katanya, Pelita Lusoh tidak hanya memfokuskan kepada karakter Joker semata-mata, tetapi ada dua lagi filem lain yang menjadi rujukan mereka.

"Untuk Aweera, dia menjadikan filem Joker sebagai rujukan manakala saya dan Alan pula masing-masing mencari rujukan menerusi filem The Crow dan juga Dead Man Walker," katanya.

Kekaseh Syurga adalah karya ciptaan Aweera sepenuhnya dan menjadi single kedua Pelita Lusoh selepas muncul dengan single pertama berjudul Pelita Ini Lusoh pada Februari lalu.

Terbaru, Pelita Lusoh kini dalam persediaan untuk siri jelajah ke 10 lokasi di seluruh negara bermula 6 Februari 2020.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 8:14pm
d