rap

Guna peluang sebaik mungkin

Oleh Norhayati Nordin

BERMULA sekadar suka-suka, siapa sangka hobi menyanyi kini menjadi lubuk rezeki bagi bakat baharu, Fieza Hanis.

Fieza, 22, dilamar Broadway Entertainment yang menyedari potensinya untuk bergelar penyanyi hebat.

Mengulas pembabitannya, Fieza berkata dia mewarisi bakat bapa yang aktif menyanyi sekitar era 80-an.

"Saya sama sekali tidak pernah terfikir akan mendapat peluang bergelar artis rakaman.

"Sejak dulu hobi saya menyanyi dan suka memuat naik rakaman nyanyian semula lagu popular di media sosial," katanya.

Pernah bekerja di pusat peranginan di Perak, Fieza atau nama sebenar Fieza Hanis Zalaluddin berterima kasih dengan peluang yang diberikan syarikat rakaman dan pelbagai pihak yang mengenalinya.

"Walaupun perjalanan dalam kerjaya nyanyian masih jauh, saya takkan gentar untuk berusaha hingga berjaya.

"Apatah lagi, pembabitan dalam kerjaya ini mendapat restu keluarga terutama bapa. "Saya nekad akan gunakan peluang diberi Broadway Entertainment sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuan diri," katanya.

Sebagai salam perkenalan, Fieza akan tampil dengan lagu duet bersama penyanyi terkenal, Ezad Lazim.

Mengambil kira penerimaan baik pendengar masa kini terhadap lagu retro, Fieza dan Ezad mendapat kepercayaan merakamkan semula lagu Jika Kau Bercinta Lagi. Lagu balada nyanyian asal kumpulan Alleycats itu diberi nafas baharu agar bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini.

"Pengalaman merakamkan lagu Jika Kau Bercinta Lagi sangat berharga buat saya. Cabaran terbesar adalah saya perlu menyanyi dengan sepenuh jiwa.

"Bukan mudah menjiwai lirik yang puitis, tetapi Ezad banyak memberikan tunjuk ajar.

"Saya rasa bertuah dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Ezad untuk merakam semula lagu Jika Kau Bercinta Lagi," katanya.

Mengharapkan pendengar muzik tanah air dapat menerima kemunculannya, Fieza berkata dia juga sedia dikritik.

Sebagai orang baharu dalam industri, dia perlu bersikap terbuka dengan segala kritikan diberi pendengar kerana daripada situ dapat memperbaiki kelemahan diri dan mutu nyanyian.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 5:15am
d