rap

Belasungkawa Nassier Wahab

Oleh Georgie Joseph

CUKUP popular pada sekitar 1980-an hingga sekarang, Allahyarham Datuk Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd Nasir Abd Wahab, 57, sememangnya antara penghibur yang cukup disegani.

Nassier yang dilahirkan pada 18 April 1962 di Kota Kuala Muda, Kedah adalah anak ke-12 daripada 14 beradik dan cukup dikenali dengan wajahnya yang awet muda.

Kelunakan suaranya sentiasa menjadi perbualan dan suatu ketika dulu, beliau pernah berdiri sebaris dengan ramai penyanyi legenda lain. Antaranya Datuk Jamal Abdillah, Razis Ismail, dan Shidee.

Allahyarham juga sangat serius dalam memajukan karier nyanyiannya. Beliau memiliki kelulusan dengan memperoleh sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Kolej Joseph Chamberlain, Birmingham, United Kingdom.

Generasi sekarang mungkin mengenali arwah menerusi lagu hitnya Memori Cinta Luka selain penyertaan dalam Gegar Vaganza musim kedua (GV2). Namun beliau juga cukup terkenal menerusi lagu Bayangan Wajah Duka, Sebuah Janji Tak Bererti, Sekali Aku Jatuh Cinta, dan Undangan Rindu.

Antara pencapaian terindah beliau dalam industri seni tempatan adalah dicalonkan untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 1987 dan 2004.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham juga tidak pernah patah semangat untuk terus menghiburkan peminat. Bahkan, pengikutnya terus setia menyokong kariernya termasuklah sewaktu beliau menyertai GV2.

Tidak ketinggalan, penyertaannya juga dipertikai sesetengah peminat program realiti popular berkenaan. Ia disebabkan Nassier mempunyai profil hebat berada dalam kelas tersendiri.

Dalam pertandingan itu, beliau menjadi antara peserta yang cukup popular dan sentiasa dipuji nyanyiannya merdu. Bahkan, Allahyarham berjaya membuktikan dirinya masih berbisa dan meraih tempat keempat.

Selain menyanyi, Nassier juga pernah membuat kemunculan di layar perak dan membuktikan bakat lakonannya juga hebat. Beliau membintangi filem Si Jantung bersama AR Badul, Ibrahim Din dan Faridah Fasha.

Allahyarham juga turut menjayakan drama Episod Terakhir bergandingan dengan Eman Manan dan Shiela Rusly.

Jarang terpalit dengan kontroversi panas, industri bagaimanapun pernah dikejutkan berita beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 2009. Beliau dilaporkan cedera akibat rumahnya di Subang Jaya terbakar disebabkan litar pintas.

Pada sekitar Julai lalu, Nassier dilaporkan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di sebuah pusat perubatan di ibu negara.

Ketika itu, keadaan kesihatannya semakin baik, malah sudah boleh makan seperti biasa tanpa bergantung kepada tiub.

Pembantu peribadinya, Ariff Salim memberitahu, ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.

Sejak itu, Nassier dilaporkan sering sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, penyanyi itu membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian berkenaan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah, 22.

Berita berkaitan

'Nassier Wahab meninggal dunia'

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 11:28am
d