rap

Diana Danielle enggan komen pasal Farid Kamil

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON, Datin Diana Danielle enggan memberikan sebarang kenyataan mengenai suaminya, Datuk Farid Kamil yang dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan dadah.

Diana berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Ombak Rindu The Series terbitan Iflix di pusat beli-belah Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya tak mahu komen kalau pasal Farid," katanya ringkas.

Mei lalu, Farid Kamil atau nama sebenarnya Datuk Farid Kamil Zahari, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, memilih untuk berdiam diri selepas diperintahkan membela diri.

Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pelakon filem J Revolusi itu didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 5:16pm
d