rap

Kisah seram hantu asrama jadi inspirasi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENULIS skrip, Marr Mohamad muncul dalam naskhah seram Cerita Hantu Asrama yang bakal bersiaran setiap Khamis, mulai jam 11 malam ini di saluran Astro Prima.

Marr berkata, kisah dipaparkan adalah berdasarkan pengalaman peribadi dan rakan yang pernah tinggal di asrama sekolah.

“Saya tak pernah ada pengalaman tinggal di asrama. Cuma ada sesekali tidur di asrama sebab ajakan sahabat ketika bersekolah dulu.

“Seperti biasa, di setiap asrama ada banyak kisah misteri dan cerita hantunya. Semuanya menjadi legenda di setiap asrama.

“Jadi, dalam drama ini saya inspirasikan kesemua kisah yang pernah diceritakan oleh kawan di asrama dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Antara kisah hantu yang dipaparkan adalah kisah qarin, histeria, hantu loker, satu dah tidur, ..dua dah tidur, nenek kebayan, penunggu pokok tua dan banyak lagi.

Drama arahan Faliq Shariff itu menampilkan lakonan hebat Tiz Zaqyah serta kemunculan beberapa artis baru seperti Asad Motawh, Ariff Bahran, Sharifah Rose dan Yuna Rahim.

Turut membintangi drama terbitan Padusi Pictures itu adalah Aiman Tino, Fara Hazel, Eyka Farhana, Aman Aziz, Raja Atiq, Wany Kayrie, Afieq Shazwan, Sweet Qismina, Adam Lee dan ramai lagi.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 8:16pm
d