rap

'Susu pisang dikecam, salah risalah' - Neelofa

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEBRITI popular Noor Neelofa menjelaskan salam faham membabitkan minuman berperisa pisang dihasilkan Nilofa.Hq baik untuk kesihatan dan dapat membantu menurunkan berat badan berpunca daripada risalah yang diedarkan pada hari persidangan bagi memperkenalkan produk itu.

Menerusi kenyataan dimuat naik di laman sosial Nilofa.hq, Neelofa berkata, syarikat yang ditubuhkan untuk mengendalikan produk minuman susu pisang itu kecil sahaja dan tidak ada ramai pekerja.

“Bagi mempromosikan produk ini saya menggunakan tenaga kerja luar termasuklah bahagian pemasaran, operasi dan penjenamaan. Sewaktu hari persidangan dijalankan, mereka yang hadir menerima risalah menceritakan kebaikan susu ini.

“Bagaimanapun, risalah itu tidak merujuk atau mendapat kelulusan kilang dan ibu pejabat. Andai saya dapat tahu perkara ini, pasti saya akan hentikan pengedarannya,” katanya.

Tegas Neelofa, dari awal perancangan menghasilkan produk itu dia tidak mahu memfokuskan atau menjenamakan ia sebagai makanan kesihatan yang boleh mencantikkan, memutihkan wajah atau menurunkan berat badan.

“Saya mahu menghasilkan produk yang melambangkan gaya hidup, itu sahaja. Disebabkan itu, mereka yang sudah mendapatkan susu ini dapat lihat di kotak atau bungkusan tidak ada dinyatakan bahawa ia untuk kesihatan mahupun kecantikan,” katanya.

Neelofa memberikan kenyataan ini selepas produk minuman yang dihasilkan itu menjadi perdebatan ramai malah Dr Nur Amalina Che Bakri menerusi laman sosialnya meminta pengacara program MeleTop terbabit tampil memberikan penjelasan.

Menurut Neelofa, pihak KKM ada datang ke kilang dan tempat penyimpanan produk minuman yang dihasilkan syarikatnya.

“Tiada apa yang berlaku, cuma pihak KKM minta Nilofa.Hq mengubah pembungkusan susu terbabit dan ia akan dilakukan dalam proses seterusnya,” katanya.

Neelofa turut berterima kasih atas komen dan keprihatinan diberikan terhadap produk dihasilkan kerana secara tidak langsung ia menjadikan dirinya lebih peka serta akan meneliti setiap operasi penghasilan produk syarikatnya.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 8:26pm
d