rap

Sisi berbeza Normah

Oleh Rudy Imran Shamsudin

JARANG kita lihat pelakon berpengalaman, Normah Damanhuri membintangi karya komedi malah pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 1998/99 menerusi filem Jogho ini mengakui dia lebih selesa melakonkan watak serius dan berat.

Namun apabila menerima tawaran Unit Drama TV, RTM untuk memegang watak utama dalam drama komedi Nenek Aku Instafamous yang akan ditayangkan di TV1, jam 9 malam ini, sudah tentu memberi kejutan kepada peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seninya selama ini.

Ditemui pada majlis sidang akhbar drama Nenek Aku Instafamous baru-baru ini, Normah menjelaskan dia menerima tawaran daripada sutradara Ikhsan Sukiman kerana senang bekerja dengan jabatan Unit Drama TV RTM.

“Memang saya jarang berlakon karya komedi. Saya bukan tidak mahu buat, tetapi tidak pandai berlawak. Kalau watak serius atau berat macam mana pun saya masih mampu buat, tetapi komedi bukan bidang saya.

“Tetapi apabila Ikhsan bertanya, saya kena terima sebab suka bekerja dengan Unit Drama TV, RTM,” katanya.

Selain Normah, drama itu turut dibintangi Ewal, Sham Visa, Zarynn Min, Najua P Ramlee, Mubarak Majid, Wan Raja, Ken Ridzuan dan Jalil Hamid.

Sementara itu, Ikhsan berkata dia memilih Normah kerana kredibiliti seniwati hebat itu. Apatah lagi Normah sudah beberapa kali memenangi anugerah pelakon terbaik filem dan drama.

“Sudah lama sebenarnya idea untuk menghasilkan Nenek Aku Instafamous ada dalam fikiran saya. Tambahan pula ia membabitkan teknologi dan saya cuba mengetengahkan hakikat bahawa sehebat mana pun peredaran zaman, kita perlu mengekalkan budaya tempatan.

“Ikutkan cerita Nenek Aku Instafamous ini biasa saja, tetapi apabila membaca skripnya saya cuba ubah dan jadikan ia komedi,” katanya.

Lebih daripada itu, kata Ikhsan, semua orang tahu akan kemampuan Normah yang sudah biasa melakonkan watak serius.

“Jadi untuk kelainan saya cuba menunjukkan sisi bakat berbeza berbanding apa yang pernah dipersembahkan Normah. Penonton sendiri akan terkejut apabila menyaksikan Nenek Aku Instafamous ini nanti,” katanya.

Nenek Aku Instafamous mengisahkan Rafiq lakonan Ewal digantung daripada kolej selama sepenggal dihantar ibunya (Zarynn Min) dan bapanya (Sham Visa) ke kampung untuk tinggal bersama Mak Timah Andam (Normah).

Sewaktu duduk di kampung, Rafiq berasa bosan sehinggalah apabila dia mengetahui neneknya itu penjual jamu yang berjaya dan mempunyai Instagram serta pandai membuat video tutorial.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 5:10am
d