rap

Anugerah tak ubah apa-apa

Oleh Norhayati Nordin

JIKA diukur pada pakej kacak seorang pelakon, dia sedar agak ketinggalan tetapi dari segi bakat lakonan dimiliki Azhan Rani sudah membuktikannya.

Apatah lagi, untuk 2019 bakatnya mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dan terbaru, Anugerah Telenovela.

Azhan, 43, berkata dia hanya mampu mengucap syukur kepada Allah dengan kemenangannya.

“Alhamdulillah, saya menang. Cuma, anugerah itu tetap tidak mengubah apa-apa untuk saya bekerja seperti biasa.

“Sebabnya, sejak dahulu saya tak pernah ajar diri bekerja gigih sebagai pelakon semata-mata untuk mendapatkan anugerah.

“Saya sentiasa pupuk rasa teruja setiap kali mendapat watak untuk dilakonkan tidak kira kecil atau besar,” katanya.

Azhan yang melonjak nama dan bakat lakonannya menerusi drama Nur dan Nur 2 di TV3 berkata, dia sangat berterima kasih kepada barisan juri yang memilih lakonannya untuk menerima pengiktirafan.

“Apapun, dengan anugerah yang diraih saya anggap sebagai cabaran untuk membuktikan pilihan juri di atas kemenangan tidak salah.

“Saya juga akan lebih berhati-hati dalam lakonan dipersembahkan pada masa akan datang ke arah yang lebih baik.

“Selain itu, saya turut fokus untuk amanah lain yang lebih besar jika diberi peluang pada karya yang baik seterusnya,” katanya.

Sangat mendapat perhatian untuk watak antagonis, hingga kini Azhan begitu sinonim dengan watak penunggang agama, Ustaz Syed Hamadi.

Berkongsi kemenangannya untuk watak itu, Azhan berkata, dia bersyukur dapat menggalas cabaran besar untuk watak Ustaz Syed Hamadi.

“Walaupun watak ini menjurus pada ‘sisi hitam’ di mata penonton tetapi daripada sudut lain ia satu kenangan manis buat saya.

“Sepanjang perjalanan kerjaya lakonan diceburi, saya berusaha melakonkan setiap watak dengan komitmen tidak berbelah bahagi,” katanya.

Apapun, Azhan berkata, menjadi pegangannya pada kejayaan dikecapi kini adalah dengan izin Allah dan kepada-Nya selayak untuk segala pujian.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 6:15am
d