rap

Protege Ernie, Stacy, Hazama dan Black mara ke final

Oleh Ardini Sophia Sina

KONSERT separuh akhir Mentor Milenia 2019 menyaksikan empat protoge iaitu Aedy Kama, Daus Husny, Apex Tajudin dan Rika Riana mara ke pentas final program realiti itu pada Ahad depan.

Mereka ialah protege kepada mentor Ernie Zakri, Stacy Anam, Hazama dan Black Hanifah.

Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepada protoge Yazrul Arrep (Ernie), Arayn Malek (Hazama) dan Shareel Lopes( Akim) apabila terpaksa meninggalkan pentas separuh akhir Mentor Milenia yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.

Menurut juri tetap Datuk Syafinaz Selamat, pemarkahan berdasarkan persembahan pada malam ini Arayn antara protege yang layak untuk ke peringkat akhir.

“Saya selaku juri melihat ada peningkatan dalam persembahan mereka pada malam ini. Kalau lima yang dipilih, saya ingin melihat Arayn ke peringkat akhir kerana dia memberikan persembahan baik pada malam tadi.

“Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai pertandingan realiti, sudah tentulah keputusan berkenaan dipengaruhi 40 peratus daripada hasil undian,” katanya.

Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi wang tunai RM100, 000 berserta trofi.

Pemenang juga berpeluang menghasilkan lagu debut ciptaan salah seorang komposer ternama di Malaysia, lengkap berserta video muzik serta dijadikan OST drama di TV3.

Selain itu, pemenang akan diberi waktu promosi televisyen dan radio bernilai RM500,000 dan dokumentari pendek kisah mereka sepanjang di Mentor Milenia untuk disiarkan di saluran YouTube TV3.

Program Mentor Milenia 2019 ini diacarakan oleh Shuk Sahar dan Elly Mazlein.

Selain Syafinaz, penyanyi rap terkenal iaitu Altimet juga juri pertandingan ini.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 12:45am
d