rap

Kontrak Ahmad Idham dipendekkan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan tempoh perkhidmatan Ahmad Idham Ahmad Nazri selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya dipendekkan sehingga 10 Mac tahun hadapan.

Finas dalam kenyataannya berkata, Ahmad Idham memohon untuk memendekkan tempoh perkhidmatan itu atas sebab tertentu.

"Ahli Lembaga Pengarah Finas menerima dan meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan kontrak perkhidmatan sehingga 10 Mac 2020. Justeru itu, Finas merakamkan setinggi penghargaan buatnya atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac berkata, keputusan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan itu dibuat sendiri Ahmad Idham.

Katanya, Ahmad Idham yang juga pengarah filem dan pelakon sepatutnya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas sehingga 10 Mei 2021, namun memilih untuk memberikan perkhidmatan sehingga 10 Mac tahun hadapan.

Portal berita akhbar ini pada 14 Mac lalu melaporkan Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pengarah Eksekutif baharu Finas berkuat kuasa 10 Mac lalu bagi membangunkan industri kreatif tempatan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo berikutan Ahmad Idham berpengalaman selama 25 tahun dalam industri seni tanah air.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 4:54pm
d