rap

Akim reda protege gagal mara ke final

Oleh Ardini Sophia Sina

PENERBIT Eksekutif Mentor Milenia 2019, Muhamad Sufian Isa menjelaskan sejak awal lagi pihak produksi sudah menetapkan hanya empat protege layak mara ke peringkat akhir walaupun ada lima mentor.

Kata Sufian, pihak produksi juga sudah mengkaji beberapa faktor termasuk durasi program yang diambil kira sebelum kata sepakat dicapai untuk konsep final Mentor Milenia tahun ini.

"Memang dari awal pihak kami sudah menetapkan hanya empat peserta akan mara ke pentas akhir atas beberapa faktor termasuk durasi.

Tidak kira siapa mentor, pemilihan empat peserta itu adalah berdasarkan penilaian pihak juri dan undian awam.

"Kita harus terima hakikat. Ini adalah pertandingan dan andai rezeki peserta untuk ke peringkat akhir, mereka akan berada di sana. Apapun, tahniah kepada para finalis Mentor Milenia 2019 dan kami harap semua dapat berikan persembahan terbaik untuk musim ini,” katanya.

Peringkat separuh akhir Mentor Milenia 2019 yang berlangsung malam semalam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, menyaksikan protege terakhir Akim Ahmad iaitu Shareel Lopes terpaksa akur perjuangannya hanya setakat di situ.

Kata Akim, dia reda dengan keputusan berkenaan dan menganggap tidak ada rezeki buat anak didiknya bertanding di pentas akhir yang bakal berlangsung Ahad ini.

"Saya gembira kerana Shareel mampu bertahan sehingga ke peringkat separuh akhir. Walaupun tidak berjaya mara ke pentas akhir, pencapaiannya sudah cukup baik. Banyak ilmu yang dia sudah pelajari.

"Saya ucapkan selamat berjuang buat peserta akhir serta mentor. Semoga berjaya kerana tugasan akhir sangat mencabar. Saya tidak sabar mahu menonton persembahan mereka Ahad ini," katanya.

Selain Shareel dua lagi protege iaitu Yazrul Arrep dan Arayn Malek masing-masing di bawah mentor Ernie Zakri dan Hazama juga terpaksa meninggalkan pentas separuh akhir Mentor Milenia 2019.

Konsert separuh akhir itu menyaksikan empat protoge iaitu Aedy Kama, Daus Husny, Apex Tajudin dan Rika Riana berentap di pentas final program realiti itu pada Ahad depan.

Mereka masing-masing protege kepada mentor Black Hanifah, Ernie Zakri, Hazama dan Stacy Anam.

Minggu terakhir, finalis perlu melakukan dua persembahan iaitu solo dan duet bersama mentor mereka.

Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi RM100,000 berserta trofi. Pemenang juga berpeluang menghasilkan lagu debut ciptaan salah seorang komposer ternama tanah air lengkap berserta video muzik serta dijadikan OST drama di TV3.

Selain itu, pemenang akan diberi waktu promosi televisyen dan radio bernilai RM500,000 serta dokumentari pendek kisah mereka sepanjang menjayakan Mentor Milenia untuk disiarkan di saluran YouTube TV3.

Program Mentor Milenia 2019 diacarakan Shuk Sahar dan Elly Mazlein serta diadili juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan Altimet.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 6:02pm
d