rap

Sabhi Sadhi langgar pantang

Oleh Rudy Imran Shamsudin

DOKTOR tidak membenarkan anggota kumpulan One Nation Emcee, Sabhi Sadhi untuk bergerak terlalu aktif memandangkan masalah cakera tergelincir (slipped disc) yang dialami masih belum sembuh sepenuhnya.

Menurut Sabhi, apabila beraksi di konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6) setiap minggu, seluruh badannya terutama di bahagian kaki terasa sakit dan kebas.

Bagaimanapun, atas dasar rasa tanggunggungjawab Sabhi terpaksa melanggar arahan doktor dan cuba mengawal kesakitan yang dialami setiap kali menari.

“Biasalah, kadang-kadang apabila berada di atas pentas saya lupa diri. Lagipun, saya tidak mahu masalah kesihatan mencacatkan persembahan One Nation Emcee sekali gus menghampakan penonton.

“Mujur rakan-rakan One Nation Emcee yang lain sangat memahami apa yang saya lalui sekarang. Mereka menjaga saya sepanjang terbabit dalam pertandingan ini,” katanya.

Sabhi berkata, dia hanya akan bersungguh menari pada malam persembahan. Ketika sesi latihan dan malam raptai penuh dia lebih banyak duduk dan melakukan pergerakan yang termampu saja.

“Ketika persembahan ada masa kita asyik sampai tak sedar diri sebenarnya sakit. Anggota One Nation Emcee akan bagi isyarat supaya saya mengawal pergerakan di atas pentas.

“Kalau ikutkan hati pada malam Ahad lalu, saya mahu buat lompatan ‘backside’ tetapi nasib baik Jojo dan Kozae menghalang,” katanya.

Tegas Sabhi, walaupun langgar ‘pantang’ dia tetap menghadiri sesi rawatan yang ditetapkan sepanjang GV6 berlangsung.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 5:13pm
d