rap

'Isa bukan playboy' - Risteena

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON Nur Risteena Munim Zainul Ilyas tidak menghiraukan hasutan agar menamatkan hubungan dengan pelakon dan penyanyi baru, Isa Khan yang dilabel kaki perempuan (playboy).

Perkara itu didedahkan Risteena selepas dia dan Isa mengumumkan pertunangan mereka baru-baru ini selepas lima bulan berkenalan.

Risteena berkata, meskipun ada pihak cuba meracuni fikirannya sejak mengetahui dia dan Isa bercinta, dia sesekali tidak terpengaruh.

“Saya tidak mengendahkan kata-kata-kata mereka terhadap Isa. Saya tahu keperibadiannya dan mempercayai kejujurannya.

“Sebelum cerita Isa dikatakan ‘playboy’ sampai ke telinga saya, dia terlebih dahulu menjelaskan segala-galanya.

“Kejujuran ditunjukkan Isa membuatkan saya yakin dengan keputusan diambil. Apatah lagi Isa sendiri yang berusaha dan mahu melamar saya menjadi isterinya,” kata Risteena.

Sementara itu, Isa menjelaskan banyak pihak salah faham apabila dia berkawan dengan ramai wanita sebelum ini.

“Sebagai lelaki saya rasa tidak salah mengenali ramai wanita bagi mencari keserasian. Daripada situ kami boleh meneruskan hubungan ke fasa berikutnya.

“Bukan lelaki sahaja begitu, wanita juga berhak berkawan dengan ramai lelaku sebelum memilih pasangan yang dirasakan serasi.

“Bagaimanapun, disebabkan perkara itu saya dituduh ‘playboy’ dan suka mempermainkan perasaan wanita,” katanya.

Menyentuh mengenai tarikh pernikahan, Risteena dan Isa memilih untuk merahsiakan perancangan itu tetapi tidak menafikan ia akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Terdahulu, pasangan itu mengumumkan mereka sudah bertunang di Bali, Indonesia pada 23 November lalu.

Mereka mula berkawan selepas sama-sama membintangi drama Bulan Di Kota Langit yang bersiaran di RTM.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 3:28pm
d