rap

Radhi OAG hampir hutang along

Oleh Najiy Jefri

“SAYA hampir nak pinjam along kerana serabut tiada duit,” kata vokalis kumpulan OAG, Radhi yang mengakui berdepan masalah kewangan baru-baru ini.

Radhi ketika ditemui Harian Metro berkata, disebabkan tiada duit untuk membayar sewa rumah dan kehabisan duit poket dia hampir berbuat demikian namun bersyukur perkara ia tidak berlaku.

“Saya hilang punca pendapatan apabila kumpulan OAG berehat daripada membuat persembahan. Malah, fikiran saya juga tidak menentu membuatkan semuanya jadi kucar-kacir.

“Ditambah pula dengan hutang sewa rumah dua bulan tidak berbayar menyebabkan saya terpaksa menghubungi beberapa syarikat pinjaman wang tidak berlesan untuk meminjam RM10,000 namun bersyukur Allah melindungi saya apabila permohonan itu tidak diluluskan,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Tempatan Fest Universe 2019, di sini, hari ini.

Menurut Radhi, ketika dirinya buntu untuk mencari duit, dia tidak menyangka Tuhan menghadirkan seseorang pada waktu yang tepat dalam hidupnya.

“Bayangkan ketika tertekan untuk mencari duit, Allah hantar individu yang memiliki syarikat percetakan dan berbesar hati membantu saya menjual baju eksklusif kumpulan OAG, The Last Chapter.

“Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu baju itu sudah terjual dan saya dapat membayar beberapa hutang yang tertunggak. Insya-Allah syarikat Famsy ini juga akan menguruskan kerjaya seni saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Radhi memberitahu dia bersama anggota kumpulan OAG iaitu Amal (gitar) , Qi Razali (dram) dan Nazrin (gitar) bakal menghangatkan konsert Tempatan Stage pada 28 Disember ini di Strand Mall, Kota Damansara.

Radhi berkata, persembahan terbabit akan menjadi yang terakhir apabila setiap ahli kumpulan itu bakal membawa haluan masing-masing selepas ini.

“Konsert ini akan menjadi sebuah acara yang sangat istimewa. Ia akan menjadi persembahan terakhir kami sebelum membawa haluan sendiri.

“Secara peribadi saya merasakan sudah tiba waktunya kami fokus untuk kerjaya solo memandangkan setiap anggota ada perancangan tersendiri. Saya juga bakal tampil dengan single solo tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 4:49pm
d