rap

Sarah, Shuib gaduh besar kena tipu

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI popular Siti Sarah Raissuddin akui pernah bergaduh besar dengan suaminya yang juga pelawak Shahmira Muhamad atau Shuib sewaktu sama-sama mula membangunkan perniagaan.

Katanya, sewaktu ditemui di majlis pelancaran produk minuman di Shah Alam malam tadi, pergaduhan itu bermula apabila ada rakan kongsi yang menipu mereka dan melarikan wang jutaan ringgit.

Mengulas lanjut perkara itu, Sarah berkata, ketika kejadian suaminya bersikap aneh dan susah untuk mendengar cakap mahupun menerima pendapat.

“Entahlah, saya sendiri pun tak faham. Dia seperti sudah ‘diguna-gunakan’. Sewaktu dia memperkenalkan rakan kongsi itu saya sudah rasa tidak sedap hati.

“Beberapa kali saya memberitahu Shuib yang saya tidak yakin dengan rakan kongsi yang mahu berniaga dengan kami. Namun, Shuib tetap berkeras dan berkata, dia kenal individu itu serta yakin dengan keputusan dibuat,” katanya.

Seperti yang dijangka, akhirnya perancangan perniagaan itu gagal apabila lelaki terbabit melarikan wang dan sehingga kini gagal dikesan.

“Shuib dan saya tidak buat laporan polis kerana apa yang berlaku salah kami sendiri. Bagaimanapun, ia banyak memberikan pengajaran kepada saya dan Shuib,” katanya.

Menurut Sarah, sejak kejadian itu Shuib banyak berubah sebagai suami dan rakan niaga. Malah, apabila mahu memulakan perniagaan Shuib lebih teliti mengkaji termasuklah dengan siapa kami akan bekerja.

“Saya pula hanya akan cakap sekali dan tidak suka ulang perkara sama. Saya pula bukan jenis akan serang orang walaupun rasa kurang senang,” katanya.

Tegas Sarah lagi, individu yang menganiaya mereka tidak akan hidup tenang.

“Saya doakan yang baik-baik saja untuk dia walaupun menipu kami. Tidak mengapalah, doa orang teraniaya sering dikabulkan Allah. Mungkin dia didatangkan kepada kami sebagai ujian.

“Sekarang, Alhamdullilah... Apa yang kami usahakan menampakkan hasil walaupun pada awalnya diuji kerana ditipu individu terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 6:28pm
d