rap

'Belum tahu punca kematian Alif' - Nora [METROTV]

Oleh Ardini Sophia Sina

PUNCA kematian anak penyanyi popular, Nora Ariffin, 46, iaitu Muhammad Syakir Alif Johan, 20, masih tidak diketahui walaupun bedah siasat sudah dijalankan pagi tadi.

Nora ketika ditemui berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian anaknya itu, namun dia berpuas hati hasil analisis yang diterima selepas bedah siasat itu.

“Ikutkan saya tak nak buat bedah siasat sebab arwah suami dulu pun tak buat. Namun, sebab dia masih muda dan meninggal dunia di rumah, macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Jadi, saya ikut prosedur atas nasihat polis dan saranan keluarga,” katanya.

Nora berkata, hasil bedah siasat mendapati saluran darah tidak ada masalah dan arwah juga bersih dari pengambilan ubat-ubatan.

“Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan jantungnya ada bengkak sedikit. Secara keseluruhan tidak ada yang pelik sebagai punca kematiannya,” katanya.

Jenazah Aliff dikebumikan kira-kira jam 3 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur berhampiran kubur Allahyarham bapanya, Johan Nawawi yang juga komposer terkenal yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017.

Jenazah terlebih dulu disolatkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya.

“Tidak ada ibu yang menjangkakan anak yang baru berusia 20 tahun meninggal dunia. Ketika menghantar saya ke lapangan terbang semalam dia biasa saja dan sangat ceria. Apapun memang sudah ajal dia. Saya reda dengan pemergiannya dan menerima dugaan ini dengan hati terbuka,” katanya.

Alif dipercayai meninggal dunia secara mengejut di kediaman mereka di Petaling Jaya sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketika kejadian, arwah yang juga anak kedua daripada empat beradik rebah dan tidak sedarkan diri.

Seperti ibu bapanya, Alif juga berbakat dalam bidang nyanyian dan pernah menyertai program Mentor Milenia 2019, tetapi gagal dipilih sebagai protege.

Sebelum ini, Alif yang mengalami masalah berat badan hingga mencecah 130 kilogram (kg) menjalani pembedahan bariatrik dan berjaya menurunkan berat sebanyak 40 kg dalam tempoh beberapa bulan.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 4:35pm
d