rap

Menyamar jadi Naqiu pulak

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI Naqiu kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan namanya bagi tujuan mengutip wang kononnya untuk kegunaan kelab peminatnya, Naqiurious bagi menyokong penyanyi itu final Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Ahad ini.

Naqiu yang juga bekas penyanyi Boboy berkata, dia tidak menyangka ada pihak yang sanggup memanipulasi namanya dan kelab peminat.

"Walaupun perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku, tetapi ia tetap mengejutkan saya. Saya terkilan dengan situasi yang berlaku ini.

"Tidak sangka ada pihak yang tergamak mengambil kesempatan dan memanipulasi peminat lain dengan menggunakan gambar dan nama saya," katanya.

Naqiu berharap supaya peminatnya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan menggunakan identitinya.

"Perkara ini sedang disiasat oleh pengurusan saya bersama pihak berkuasa. Saya ingin tegaskan di sini, pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak akan terlepas kerana menganiaya peminat saya.

"Saya harap peminat meneliti terlebih dulu mesej yang mereka dapat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan," katanya.

Terdahulu, tular perbualan WhatsApp pihak terbabit yang menyamar sebagai Naqiu dengan peminat dari Brunei Darussalam.

Dalam perbualan itu, pihak berkenaan meminta peminat memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai kononnya bagi membantu Naqiu yang akan bertanding di final GV6, Ahad ini.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 12:38pm
d