rap

Penat jaga hati orang, Tiz Zaqyah lebih selesa solo

Oleh Ramlah Zainal

“PENAT terpaksa jaga hati dan perasaan orang lain,” kata pelakon Tiz Zaqyah, 31, yang mendedahkan dia sudah putus cinta sejak beberapa bulan lalu.

Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak berkata, hubungan dengan kekasihnya itu berakhir kerana tiada persefahaman.

“Siapa yang tidak sedih apabila putus cinta, tetapi saya anggap kami tiada jodoh untuk berkahwin. Buat apa saya nak bertahan jika hubungan percintaan itu tidak boleh diteruskan?” katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk bercinta lagi, pelakon drama bersiri Sara Sajeeda di TV3 itu berkata, dia tidak serik dan terbuka untuk berkawan dengan orang lain.

“Saya tidak serik untuk bercinta lagi selepas ini. Pada masa sama, saya juga terbuka untuk berkawan dengan orang lain dan mahu buka buku baru,” katanya.

Bagaimanapun, buat masa ini Tiz mahu fokus pada bidang lakonan.

“Saya baru aktif semula selepas berehat lama sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, kisah cinta Tiz bersama kekasih yang dikenali sebagai Syed Hafiz itu mula diperkatakan netizen di media sosial sejak Januari lalu.

Tiz juga dikatakan terbuka berkongsi kisah cintanya dengan kekasihnya itu dengan memuat naik gambar bersama ketika menikmati makan malam termasuk meraikan hari jadinya di Instagram, sebelum ini.

Selain itu, Tiz juga pernah bercinta dengan Daniel Haziq tetapi hubungan itu juga putus di tengah jalan tidak lama dulu.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 3:02pm
d