rap

Jasper makin berani

Oleh Norhayati Nordin

JIKA diukur daripada aspek populariti, Jasper James Supayah atau mesra disapa Jasper, 26, sedar masih banyak perlu diusahakannya.

Baru tiga tahun berkecimpung dalam kerjaya seni selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) 2016, Jasper dilihat lebih mendapat perhatian sebagai pelakon.

Tahun ini, selain tampil dalam drama Puteri Yang Ditukar sebagai Fiffy, dia turut tampil dengan filem Busut Bonang arahan Khalid Nadzri.

Pada sama, gadis kelahiran Johor ini turut dikatakan semakin berani dan tampil dengan imej seksi.

Mengulas mengenai penampilannya itu, Jasper berkata, dia tampil seksi kerana lebih yakin. Dia juga selesa dengan pakaian digayakan yang juga disifatkan tidaklah ‘seksi keterlaluan’.

“Pada saya, ia penampilan biasa yang sesuai dengan tema acara dihadiri. Apatah lagi, ia dilihat tidak begitu ranggi. Apa yang pasti, saya selesa dengan pakaian itu. Bagi saya, asalkan sesuai dengan penampilan tak mengapa kerana sekarang pun saya memang lebih berani.

“Saya akui keyakinan diri juga semakin kukuh dan tidak gentar berhadapan apa saja kritikan. Ini adalah masa untuk menitikberatkan penampilan,” katanya.

Berbicara mengenai kerjaya seninya, Jasper berkata, selain fokus pada lakonan, dia juga melebarkan bakat sebagai penyanyi dan pengacara majlis.

“Setakat ini, tawaran berlakon yang saya terima tidak putus. Boleh dikatakan ia perkembangan sangat positif terhadap kerjaya lakonan saya.

“Walaupun nama saya belum cukup dikenali dan boleh dianggap popular, sekurang-kurangnya bakat lakonan semakin mendapat perhatian pihak produksi,” katanya.

Jasper berkata, dia juga baru selesai berlakon telefilem berjudul Satu Bertiga dan terbabit penggambaran drama Bukan Kahwin Paksa untuk slot Lestary di TV3.

Antara telefilem dan drama lain pernah dibintangi Jasper ialah Cruise Cinta Lebaran, Semusim Rindu, Alergi Mamat Romantik, Sara Sajeeda dan Ombak Rindu The Series.

Cedera di kaki dan digigit kutu babi

Walaupun mengalami kecederaan di kaki ketika penggambaran filem Busut Bonang, Jasper kuatkan semangat dan melupakan kesakitan.

Katanya, jika diikutkan kesakitan yang dialami ini menyukarkannya untuk berlakon, namun Jasper nekad menahan sakit bagi menghabiskan penggambaran.

“Saya tahu, jika penggambaran dihentikan ketika itu, tidak semestinya dapat berlakon pada keesokan harinya. Jadi, lebih baik selesaikan semuanya dulu.

“Bagaimanapun, percaturan saya tepat. Kaki saya sakit teruk selepas itu dan memerlukan rawatan lanjut,” katanya.

Jasper berkata, ketika penggambaran di hutan, dia turut digigit kutu babi hingga kulitnya mengalami gatal-gatal dan terpaksa mendapatkan suntikan.

Dalam filem Busut Bonang, dia melakonkan watak Julia yang bapanya, lakonan Ropie Cecupak memiliki ‘saka’.

Busut Bonang yang akan ditayangkan mulai esok turut dibintangi Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Sahronizam Noor, Rashidah Jaafar, Hairi safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri dan Badrolshah @ Bard.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 7:04pm
d