rap

Mungkin meninggal baru henti penggambaran - Izara Aishah

Oleh Georgie Joseph

PELAKON, Izara Aishah mendedahkan dia mengalami kecederaan menyebabkan badan serta matanya lebam selain giginya patah sewaktu menjalani penggambaran drama Ombak Rindu untuk siaran di platform iflix.

Bagaimanapun, Izara, 27, yang memuat naik mengenai perkara itu di Twitter hari ini, berkata kejadian berkenaan berlaku beberapa bulan lalu dan bukannya baru-baru ini.

“Kejadian itu berlaku sekitar Julai atau Ogos lalu sewaktu menjalani penggambaran drama Ombak Rindu di Langkawi. Ia berlaku ketika melakonkan babak berat yang saya tak boleh dedahkan dan bukannya kena pukul.

“Saya terus dikejarkan ke hospital dan alhamdulillah tiada kecederaan serius. Saya kemudian menyambung penggambaran disebabkan ketika itu bengkak belum nampak lagi sebab baru terjadi dan ada luka tapi belum rasa sakit.

“Produksi pun turutkan dan teruskan saja namun keesokan harinya lebam jadi sangat teruk. Kami terpaksa hentikan penggambaran selama dua hari disebabkan bentuk muka saya sudah kelihatan pelik,” katanya kepada Harian Metro.

Izara mengakui dia rasa bersalah kerana menganggap dirinya menjadi punca produksi terpaksa berehat dan menukar tarikh penggambaran.

“Dalam keadaan itu, saya berkeras untuk tetap masuk penggambaran dan mereka terpaksa menutup kesan lebam itu dengan mekap.

“Beberapa hari kemudian, mereka tak boleh biarkan saya berlakon lagi atas arahan doktor dan direhatkan seminggu,” katanya.

Izara turut menjelaskan perkongsiannya di Twitter bukan bersifat sinis kepada produksi tempatan dan kenyataannya adalah bersifat umum.

“Kenyataan itu adalah bersifat umum dan sebenarnya saya bukan nak menyindir pun. Hakikatnya, pihak produksi terbabit menjaga saya dengan begitu baik,” katanya.

Terdahulu, Izara memuat naik kenyataan serta beberapa fotonya cedera dan lebam di Twitter. Dalam statusnya, dia mengatakan penggambaran di Malaysia hanya akan dihentikan sekiranya pelakon mati.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 4:20pm
d