rap

Inspirasi dari lagu barat, bukan tiru lagu tempatan

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI, Afieq Shazwan menafikan lagu Lelaki Di Telefon yang berentak reggaeton meniru lagu Donde dan Satu Peluang dendangan Andi Bernadee seperti dakwaan segelintir warganet ketika ini.

Menurut Afieq, 22, dia hanya mengetengahkan kreativitinya dalam muzik menerusi single baharunya itu.

“Dakwaan itu tidak betul. Idea asal lagu Lelaki Di Telefon adalah daripada komposer DJ Fuzz dan Aziquebeats.

“Saya hanya memasukkan elemen tradisional dan gitar rock yang juga daripada formula lagu reggaeton,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai lagu Lelaki Di Telefon itu lagi, katanya, dia juga mendapat inspirasi formula lagu itu dari barat.

“Lagu reggaeton juga skopnya tidak besar. Tempo lagu ini juga inspirasi daripada muzik kumpulan boyband latin terkenal dari Amerika Syarikat, CNCO,” katanya.

Ditanya penerimaan peminat pula, Afieq mengakui jumlah pengikutnya di laman Instagram juga meningkat kerana populariti lagu Lelaki Di Telefon itu.

Katanya, selepas dua minggu lagu Lelaki Di Telefon di YouTube, jumlah pengikutnya juga bertambah dan kini mencecah 724,000 di laman Instagram.

“Saya akui ramai peminat yang bertanya persamaan lagu Lelaki Di Telefon dengan lagu Andi itu.

“Lagu Andi mungkin lebih seksi tetapi lagu Lelaki Di Telefon lebih kepada untuk mengajak remaja menari bersama.

“Namun, komen yang diberikan peminat juga positif sekali gus menaikkan lagi nama saya sebagai penyanyi,” katanya.

Pada masa sama, kata Afieq, dia juga menganjurkan Video Challenge lagu Lelaki Di Telefon khusus untuk peminat di laman sosial.

“Video Challenge ini membabitkan kerjasama dengan syarikat pengurusan.

“Pihak kami akan memilih 10 pemenang terbaik untuk memenangi hadiah ditawarkan nanti,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 4:34pm
d