rap

Anak dah jangka Shira kongsi keputusan PT3

Oleh Najiy Jefri

“SAYA kena adil. Kalau keputusan anak sebelum ini saya kongsikan, jadi untuk anak yang ambil keputusan PT3 kali ini pun saya memuat naik di Instagram,” kata pelakon dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah mengenai tindakannya memuat naik keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) anak lelakinya, Airell Zulkifly, hari ini.

Sharifah atau lebih dikenali sebagai Shira berkata, dia sudah menjangka keputusan yang bakal diterima anak lelakinya itu dan tidak memarahinya.

“Saya tahu tahap akademik anak. Tak tahu nak buat apa lagi tapi mungkin salah saya kerana kurang beri perhatian kepadanya.

“Walaupun menghantarnya ke pusat tuisyen, tapi saya lihat minatnya lebih kepada menonton YouTube. Namun saya sering memberi nasihat dan mengingatkan dia mengenai kehidupan dan masa depan,” katanya.

Airell yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati hanya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris manakala D (Bahasa Melayu), D (Bahasa Melayu Lisan), F (Sejarah), F (Geografi), D (Pendidikan Islam), D (Matematik), D (Sains) dan D (Reka Bentuk dan Teknologi).

Menurut Shira, dia tidak peduli segala tanggapan negatif orang ramai mengenai tindakannya memuat naik keputusan anak lelakinya itu.

“Anak sudah dapat jangka saya akan kongsikan keputusannya di Instagram. Saya tak rasa dia malu atau sedih sebab ada perkara lain yang dia tak suka saya kongsikan di Instagram berbanding keputusannya itu.

“Meskipun cikgu di sekolah minta hantar anak ke sekolah swasta tapi saya tak rasa itu cara terbaik.

“Sekarang ini saya nak simpan duit sebab banyak komitmen yang perlu ditanggung selain semua anak akan dihantar belajar ke kolej nanti,” katanya.

Terdahulu perkongsian keputusan PT3 anak lelaki Shira di Instagram menarik perhatian orang ramai yang geli hati melihat kenyataan Shira.

Penyampai radio Suria FM itu mengatakan di zaman dia sehingga ke anaknya sering menerima keputusan D, namun jangan sesekali menghina anaknya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 7:52pm
d