rap

Hilang pertaruhan pertama

Oleh Ardini Sophia Sina

TAMPIL mempertaruhkan single pertama berjudul Hilang, penyanyi baharu yang ingin dikenali sebagai Bitobeyto bersyukur kerana impiannya untuk menceburi bidang nyanyian tercapai.

Bito berkata, dia meminati bidang nyanyian kerana mengikut jejak langkah bapanya yang pernah menjadi penyanyi di RTM.

“Bapa pernah jadi penyanyi dengan RTM, tetapi tidak lama. Saya seronok lihat dia menghiburkan penonton. Disebabkan itulah sejak berusia sembilan tahun saya memasang angan-angan untuk ikut jejak langkahnya.

“Alhamdulillah, akhirnya tercapai pada tahun ini. Pada mulanya, keluarga kurang galakkan kerana bimbang saya terdedah dengan pelbagai kecaman. Tetapi, sekarang mereka sudah restu kerjaya ini,” katanya.

Bakat Bito sebenarnya lebih kepada sukan bola sepak. Dia pernah mewakili pasukan Bawah 19 Tahun Terengganu pada 2016 dan tahun lalu dia menyertai pasukan Bawah 21 Tahun PKNS.

Kontrak yang berakhir pada Disember tahun lalu tidak disambung menyebabkan pemuda ini cuba mencari pekerjaan baharu sebagai sumber pencarian bagi menampung kehidupannya.

“Saya mula berjinak-jinak dalam bidang muzik pada Disember lalu. Tidak sangka lagu Hilang yang dinyanyikan hanya dengan iringan gitar berjaya mendapat lebih tiga juta tontonan di YouTube.

“Saya sempat menjadi penyanyi jalanan di Terengganu sebelum menerima panggilan telefon daripada pihak Rusa Music menawarkan saya menjadi artis rakaman mereka,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Hilang ciptaannya itu, Bito berkata, ia diinspirasi daripada rasa kecewa selepas kehilangan insan yang dicintai.

Malah, lagu kedua yang sudah siap ditulis juga masih berkisar mengenai bekas kekasih.

Bagaimanapun, ia bukan lagi menceritakan perasaan sedih mahupun kenangan bersama tetapi lebih pada

diri yang sudah menerima takdir itu.

“Saya buat lagu ini awal 2017. Ilham itu datang selepas dua bulan putus cinta. Saya tulis apa yang terlintas dalam hati. Untuk 2020, saya sudah siapkan lagu kedua. Hanya tinggal masa untuk dilancarkan.

Judul pun sudah ada iaitu Terima Kasih. Ucapan yang saya ingin tujukan kepadanya kerana pernah menjadi yang istimewa dalam hidup.

“Memang kami cadang lagu itu dilancarkan tahun hadapan cuma buat masa ini, biarlah fokus pada Hilang. Berikan masa dan ruang sejauh mana ia diterima,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 5:00am
d