rap

Cabaran RM5 Khai, Wany

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Khai Bahar dan Wany Hasrita mengajak orang ramai untuk menyertai cabaran RM5 dalam menjayakan misi kemanusiaan, Syria Care.

Khai, 25, berkata, cabaran itu berbentuk sumbangan dan derma yang mana akan disalurkan terus kepada pelarian yang ditempatkan di kem di Syria.

“Alhamdulillah, ini tahun ketiga saya bersama dengan pihak Syria Care yang mana program akan dijalankan April tahun depan. Sebagai pernulaan, kami menjayakan kempen cabaran RM5 ini.

“Saya terharu kerana cabaran ini mendapat sambutan baik dan berharap ia tidak berhenti kerana ini juga sebahagian daripada saham akhirat kita.

“Saya dan Wany mengajak bukan untuk peminat kami saja, tapi kepada semua. Saya yang sudah dua kali menziarahi mereka berasa sangat bersyukur dapat hidup di negara yang aman damai ini. Jadi, apa salahnya kita bantu saudara seagama kita di sana pula,” katanya kepada Harian Metro.

Bagi Wany yang kali pertama menyertai misi kemanusiaan itu berkata, peluang diberikan untuk terbabit sama sudah lama dinantikan.

“Saya tahu mengenai pembabitan Khai dalam misi kemanusiaan ini dan begitu juga dengan beberapa rakan artis lain dalam program sebegini.

“Sebelumnya saya tidak berkesempatan dan alhamdulillah, tahun ini rezeki itu ada untuk saya terbabit sama. Allah permudahkan untuk saya membantu mereka yang memerlukan.

“Saya percaya, dengan usaha kecil yang dibuat ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka. Bayangkan betapa gembiranya mereka ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

Sukarelawan Misi Kemanusiaan Syria Care termasuk Khai dan Wany bakal bertolak ke Turki dan Syria pada 15 hingga 21 April tahun depan.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 11:39am
d