rap

Berat turun mendadak selepas putus cinta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

AKIBAT putus cinta dengan pelakon Risteena Munim, berat badan pelakon, Ikhwan Khairudin turun sebanyak 20 kilogram (kg) kilogram daripada berat asal 90 kg.

Ikhwan, 29, berkata, sepanjang dua bulan putus cinta sejak Ogos lalu, dia banyak menyendiri di rumah.

“Tujuh tahun bercinta bukanlah jangka masa pendek. Apatah lagi sudah ada perancangan dan persiapan berkahwin. Jadi, apabila putus ia memberi tamparan buat saya.

“Saya hanya duduk di rumah dan menyendiri untuk kuatkan semangat saya balik. Emak risau melihat keadaan saya ketika itu. Alhamdulillah, berkat doanya dan keluarga setiap hari, saya perlahan-lahan bangkit dan kuatkan semangat.

“Berat saya turun mendadak. Orang yang tengok pun terkejut. Tapi, mereka juga memberikan aura positif. Saya sedar sampai bila nak kecewa. Akhirnya, saya mencari arah tuju baru,” katanya kepada Harian Metro.

Ikhwan yang sudah enam tahun tidak berlakon berterima kasih kepada penerbit dan pengarah yang masih mempercayai bakat dimiliki.

Menurut Ikhwan, dia bersyukur apabila tawaran berlakon tidak putus sekali gus memberikan semangat baru untuknya.

“Saya pun tidak menjangka masih ada yang ingat. Mereka tawarkan saya berlakon. Walaupun diberikan watak pembantu, saya sudah cukup bersyukur.

“Boleh dikatakan sekarang saya sibuk dengan bekerja selain menguruskan perniagaan yang ada. Betul, perancangan Allah itu lebih baik. Ada hikmah besar sebalik yang berlaku.

“Sekarang saya gembira dengan apa dilalui. Saya mahu terus fokus dengan kerjaya dan menggembirakan orang tua dan keluarga. Kerjaya dan keluarga keutamaan sekarang,” katanya.

Ikhwan kini terbabit dalam beberapa penggambaran drama untuk TV3 iaitu Titian Takdir untuk slot Lestary, Camelia dan Ironi Kasih untuk slot Samarinda.

Terdahulu, Ikhwan mengesahkan sudah putus cinta Risteena Munim selepas pelakon itu mula memuat naik gambar lelaki misteri di Instagram.

Risteena juga sudah bertunang dengan penyanyi dan pelakon, Isa Khan pada 23 November lalu di Bali, Indonesia.

ur

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 11:54am
d