rap

Isma nikah hari ini

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Isma, 39, melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Mohd Dzaki, 35, hari ini.

Majlis pernikahan Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail yang juga kakak kepada penyanyi Tomok diadakan di Menara Seri Dewan Wilayah, Putrajaya jam 11 pagi.

Bagaimanapun, Isma yang juga ibu tunggal ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai butiran majlis perkahwinannya.

“Cukuplah sekadar orang tahu saya sudah berkahwin. Kalau boleh saya tak nak komen lanjut mengenai tempoh perkenalan saya dengan suami,” katanya.

Sementara itu, Isma menerusi Instagram meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit.

Menurut Isma, dia menerima mas kahwin sebanyak RM100 dan jumlah hantaran dirahsiakan.

Isma pernah berkahwin dengan komposer dan penyanyi Zul 2 By 2 pada 16 April 1998, tetapi bercerai pada awal tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 21, Muhammad Haiqal Aydiel,20, Seri Aida Merlissa,18, Seri Ayreen Merlynda,16, dan Seri Adryana Mercella,12 .

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 6:24pm
d