rap

Sentuhan Will Smith cemerlang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

FILEM terbaharu terbitan Walt Disney, Spies In Disguise adalah karya animasi yang tak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan filem animasi ditayangkan di pawagam dalam tempoh terdekat ini.

Menggunakan suara bintang Hollywood, Will Smith untuk watak utama iaitu Lance Sterling, Spies In Disguise mengisahkan Lance yang bertugas sebagai penyiasat terpaksa berdepan situasi di mana dia berubah menjadi burung merpati.

Walaupun egonya tinggi melangit, dia terpaksa akur dengan situasi yang berlaku sekali gus mengharapkan bantuan saintis muda yang juga pencipta alat berteknologi bernama Walter.

Dari situ, bermulalah pengembaraan Lance bersama Walter untuk menentang kejahatan dan menyelamatkan dunia.

Dari segi jalan cerita, ia adalah kisah menarik dan segar untuk ditonton. Bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, Spies In Disguise juga sesuai dijadikan bahan tontonan untuk penonton dewasa.

Sejujurnya, kemampuan Smith menghidupkan watak Lance itu membuatkan penonton terlupa seketika bahawa ini cumalah karya animasi.

Jalan ceritanya tidak meleret-leret dan tidak membuatkan penonton terpaksa berfikir banyak kerana pengarah, Nick Bruno dan Troy Quane menggarapnya dengan baik sekali.

Tidak hanya menyajikan pelbagai aksi, Spies In Disguise juga sarat dengan mesej positif mengenai nilai kekeluargaan, sedikit drama dan bagaimana untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.

SPIES IN DISGUISE

• ARAHAN: Nick Bruno, Troy Quane

• PELAKON: Will Smith, Tom Holland, Rashida Jones, Karen Gillan, DJ Khaled

• GENRE: Animasi aksi

• TAYANGAN: 25 Disember 2019

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:10am
d