rap

Reedzwann puas hati

Oleh Ardini Sophia Sina

MULA berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak awal tahun ini, Reedzwann berpuas hati klip video lagu pertamanya berjudul Cinta Pandang Pertama mendapat lebih 1 juta tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan.

Menurut jejaka berusia 19 tahun ini, dia mencipta lagu itu pada awal tahun ini dan memuat naik demo berkenaan di YouTube selepas mendapat saranan daripada pengikutnya di media sosial.

“Saya seronok tengok orang lain menyanyikan semula lagu itu dan memuat naik di media sosial atau YouTube.

“Saya terfikir untuk cuba lakukan perkara sama.

“Dari situlah pengikut di Instagram cadangkan saya cuba hasilkan lagu sendiri.

“Saya kemudian mencipta lagu Cinta Pandang Pertama dan muat naiknya di YouTube.

“Tak sangka pula dapat lebih 1 juta tontonan. Kemudian pengikut sekali lagi sarankan untuk saya cari syarikat rakaman,” katanya.

Atas usaha sendiri, Reedzwann menghubungi beberapa syarikat rakaman bertanyakan kos rakaman lagu.

Tanpa diduga, Rusa Music menghubunginya semula dan memintanya datang ke pejabat.

“Saya cuba hubungi beberapa syarikat rakaman bertanyakan kos rakaman.

“Rusa Music yang berikan maklum balas dan minta saya berjumpa mereka di pejabat.

“Tidak sangka pertemuan itu membuatkan saya kini menjadi artis rakaman mereka.

“Ketika saya masih kecil, saya memang ada angan-angan untuk jadi penyanyi. Tidak sangka ia menjadi kenyataan,” katanya.

Bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Cameron Highlands, kata Reedzwann, buat masa ini dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk menetap di Kuala Lumpur.

“Buat masa ini saya teruskan pekerjaan sebagai tukang masak.

“Kalau ada perkara yang perlu saya lakukan di Kuala Lumpur barulah saya akan ke sini.

“Lagi pun, kerjaya saya baru bermula dan belum banyak aktiviti seni pun.

“Tetapi, kalau suatu hari nanti semuanya stabil dan mampu sara hidup di Kuala Lumpur serta membantu keluarga, mungkin saya akan menetap di sini,” kata anak sulung daripada tujuh beradik ini.

Kini giat menulis lagu kedua, kata Reedzwann, lagu kedua kemungkinan akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Ia adalah kesinambungan daripada lagu pertamanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:20am
d